Ahli Parlimen BN nafi mengadu parti hilang arah ketika jumpa Azmin
(FMT) – Salah seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menghadiri pertemuan sulit di kediaman rasmi Mohamed Azmin Ali minggu lalu, menafikan dakwaan Dr Mahathir Mohamad yang mereka mengadu parti itu sudah hilang arah.
Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman berkata, dakwaan pengerusi Pakatan Harapan itu bertujuan menutup kekalahan gabungan parti pemerintah di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.
Dalam pertemuan di rumah menteri hal ehwal ekonomi itu, katanya, Azmin yang juga timbalan presiden PKR mengingatkan mereka supaya tidak meninggalkan Umno.
“Kita tetap ahli Umno, kebetulan kita kenal Azmin, dia minta kita bawa borang permohonan (berkaitan projek) dan ajak makan di rumah beliau. Jadi, kita pergilah. Ini adat orang Melayu, jadi apa masalahnya?
“Pada saya, apa dikatakan Dr Mahathir mungkin tanggapan dia hendak tutup kekalahan yang agak meruncing dalam PRK Parlimen Tanjung Piai.
“Itulah keadaan sebenar. Saya masih ingat Azmin katakan jangan sesekali lompat parti, kalau dia hendak nafikan, tanyalah Azmin siapa yang bercakap benar dan siapa yang cakap salah,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Jumaat lalu, Mahathir dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan Azmin ada ahli Parlimen BN yang menghadiri pertemuan sulit minggu lalu, mengadu parti itu hilang arah dan menyuarakan sokongan kepada kepimpinannya sebagai perdana menteri.
“Saya tanya Azmin apa yang dia bincang, dia kata orang Umno ini (kata) mereka sudah hilang parti, tidak tahu hendak buat apa. Jadi, mereka tanya sama ada hendak masuk parti lain atau tidak,” kata Mahathir tanpa menyatakan bila dan di mana Azmin memberitahu perkara itu kepadanya.
Pada 18 Nov lalu, sumber memberitahu FMT lebih 20 ahli Parlimen BN, termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menemui Azmin dipercayai untuk menghalang langkah memaksa Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.
Azmin bagaimanapun dilapor menyifatkan pertemuan dengan ahli Parlimen BN itu “mesyuarat biasa” dan Mahathir menafikan beliau mendalangi pertemuan sulit itu.
Tak fikir lompat parti
Hari ini, Hasbullah berkata, beliau tidak pernah terfikir mahu melompat parti.
“Kami tidak pernah terfikir hendak lompat parti dari awal sampai ke hari ini. Saya beritahu orang Gerik, ada 2 kali perjumpaan dilakukan dan saya tidak fikir hendak keluar Umno atau masuk parti bebas atau masuk parti bunga raya.”
Beliau mendakwa Mahathir mempunyai strategi tersendiri memandangkan pemimpin itu diketahui sejak dahulu lagi handal dalam membuat percaturan.
“Politik ini banyak permainannya, kita tengok orang lama seperti Mahathir, dia memang handal membuat percaturan. Jangan kita nampak jalan itu lurus saja, tetapi ia sebenarnya berliku-liku.”
Katanya, beliau tidak pernah mengajak Azmin menyertai Umno, namun tidak pasti sekiranya ada pelawaan daripada ahli Parlimen BN lain.
“Dia duduk dalam PKR, takkanlah orang dalam kerajaan hendak masuk dalam pembangkang.”