Abu mayat Chin Peng: KDN siasat
(Harian Metro) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat kesahihan mengenai dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.
KDN bertegas dengan larangan kerajaan sebelum ini untuk tidak membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia, bagaimanapun portal berita tempatan, Malaysiakini, hari ini melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk pada 16 September lalu.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan membawa pulang abu mayat Chin Peng ke negara ini selepas kerajaan menetapkan keputusan mengenai larangannya sebelum ini.
“Sehingga kini memang tiada permohonan diterima dan KDN sendiri tidak pernah tahu abu mayat Chin Peng berkenaan sudah dibawa masuk pada 16 September lalu sebagaimana dilaporkan portal berita (Malaysiakini) terbabit.
“KDN hanya mendapat maklumat mengenainya apabila menerima persoalan daripada pelbagai pihak termasuk media hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, susulan dasar kerajaan yang tidak berubah bagi melarang abu mayat Chin Peng dibawa pulang, KDN akan menjalankan satu siasatan mengenainya.
“Siasatan ini bagi memastikan sama ada perkara itu betul berlaku agar tindakan undang-undang dapat diambil terhadap pihak yang membawanya masuk serta yang membenarkan ia dibawa masuk,” katanya.
Hari ini, Malaysiakini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.
Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.
Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan bagi membawa mayat atau pun abunya pulang ke Malaysia untuk disemadikan.