Abu Chin Peng: Mat Sabu tunggu kenyataan KDN


(Sinar Harian) – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menegaskan beliau menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan kepulangan abu Chin Peng ke Malaysia yang tular semalam.

Menurutnya, selepas KDN mengeluarkan kenyataan dan hasil siasatan, barulah beliau bersedia menyatakan komennya dalam isu tersebut.

“KDN siasat, minta KDN siasat. Saya tak buat apa apa kenyataan sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Meskipun terus diasak dengan soalan-soalan berkaitan isu tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja itu tetap konsisten dengan jawapannya.

“Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan, saya akan komen.

“(Adakah ia akan mengguris hati perajurit negara?) Sehingga KDN mengeluarkan hasil siasatan,” katanya.

Semalam, tular laporan mendakwa abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa pulang ke Perak pada 16 September lalu selepas enam tahun kematiannya.

Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.

Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.

Penularan berita itu mendapat respons negatif daripada warganet yang mengecam tindakan tersebut.

 



Comments
Loading...