Banyak kesalahan dilakukan oleh Pakatan Harapan di PRK Tg Piai


(FMT) – Bersih 2.0 hari ini menegur menteri persekutuan dan negeri Johor atas dakwaan menyalahgunakan sumber kerajaan untuk meraih sokongan bagi calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, badan bukan kerajaan mendapati wujud trend salah laku dalam kalangan pemimpin PH, walaupun kesalahan pilihan raya yang dilakukan kali ini berkurangan.

Katanya, terdapat 10 kes salah laku berkaitan pengumuman projek pembangunan dan peruntukan untuk kawasan Parlimen itu yang bernilai RM23.93 juta.

“Walaupun kami mengakui kerajaan persekutuan dan Johor perlu terus beroperasi ketika PRK, menggunakan sumber kerajaan untuk meraih sokongan bagi calon parti pemerintah tidak beretika.

“Kerajaan PH perlu mematuhi prinsip pilihan raya bebas dan adil dengan menangguhkan pengumuman peruntukan atau projek baru ketika PRK. Perlu ada pengasingan jelas apa ialah fungsi kerajaan dan aktiviti parti.”

Walaupun ia tidak dianggap satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, katanya, menggunakan wang pembayar cukai untuk “memberi kelebihan kepada diri” adalah tidak beretika.

“Kami menjangkakan standard lebih tinggi daripada penggubal undang-undang kita.”

Fann berkata, Bersih mendapati 21 kes kesalahan pilihan raya berlaku sejak kekosongan kerusi Parlimen Tanjung Piai pada September lalu – 3 kes mengadakan jamuan dan memberi hadiah, termasuk menganjurkan makan malam dan acara, serta 18 kes melanggar had tempoh berkempen yang berakhir tengah malam hari mengundi.

Katanya, ia lebih rendah daripada jumlah kesalahan direkodkan pada PRK terdahulu, yang berpunca daripada kesedaran lebih tinggi terhadap kesalahan pilihan raya dalam kalangan calon dan orang yang berkempen.

Fann turut mengulangi kritikannya terhadap peraturan polis untuk memohon permit bagi kempen pintu ke pintu kerana bukan polis yang menetapkan peraturan ketika pilihan raya.

Beliau sebaliknya mempersoalkan kekurangan tindakan terhadap kesalahan dalam PRK terdahulu disebabkan “keghairahan” polis dalam melaksanakan peraturan baru.

“Kami berpendapat ketika pilihan raya, semangat Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan perlu dipatuhi serta dihormati ke tahap lebih tinggi.

“Kami mahu rakyat mendengar calon dan melihat sendiri (siapa calon itu).”

Barisan Nasional menewaskan PH dengan majoriti 15,086 undi dalam PRK Tanjung Piai pada 16 Nov lalu.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandang, Md Farid Md Rafik pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Ini adalah PRK kesembilan sejak PH memenangi PRU14 tahun lalu.

 



Comments
Loading...