SPRM sahkan tiada pendakwaan rasuah, Zakaria dakwa Anwar, Saifuddin ‘berniat jahat’


(FMT) – Pemimpin PKR, Zakaria Abdul Hamid hari ini mendakwa presiden parti itu, Anwar Ibrahim dan setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution cuba memesongkan ahli parti berhubung alasan pemecatan beliau yang dikatakan disyorkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Dalam perenggan keempat surat yang dikeluarkan oleh SPRM dengan jelas menyebut bahawa perbicaraan perlu dilakukan ke atas saya oleh Lembaga Disiplin (LD) parti.

“Namun begitu, mengapakah Anwar, Saifuddin dan LD tidak menghiraukan saranan ini? Sudah jelaslah mereka mengetepikan nasihat SPRM dan saya dipecat tanpa sebarang perbicaraan. Episod ini melanggar prinsip keadilan dan batas asas peradaban manusia.

“Sebaliknya, presiden dan setiausaha agung menyerang saya melalui liputan media. Saya ini sekadar anggota parti yang kerdil, tetapi saya diserang bertubi-tubi tanpa belas kasihan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zakaria juga berkata, beliau kecewa dengan tindakan tidak adil Anwar yang dilihat sebagai ikon reformasi, tetapi mengambil tindakan tidak adil terhadap diri beliau.

“Saya berasa kecewa dan amat terkesan dengan tindakan tidak adil terhadap saya oleh Anwar, sosok kononnya ikon reformasi terkemuka. Adakah politik kepartian ini tidak lagi dapat membezakan antara yang hak dan yang batil,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Zakaria berkata SPRM melalui timbalan ketua pesuruhjaya, Azam Baki sendiri mengesahkan tiada pendakwaan akan dibuat terhadap beliau.

Malah katanya, pendedahan surat SPRM oleh Saifuddin berhubung tawaran projek RM3000,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan tindakan biadap yang bertujuan menggambarkan dirinya mengamalkan rasuah.

“Saya juga agak terkejut dengan fakta yang diputar belit kesahihannya oleh Saifuddin. Saya telah memberitahu anggota cawangan bahawa terdapat projek kecil daripada Kementerian Perumahan yang diiklankan oleh majlis daerah yang boleh dimohon oleh anggota parti sekiranya mereka mempunyai lesen kontraktor G1 daripada pihak majlis.

“…ingin saya tegaskan bahawa mereka hanya bertanya bagaimanakah untuk memohon projek itu. Adakah itu satu kesalahan? Keputusan muktamad terletak kepada pihak berkuasa untuk memberikan projek tersebut kepada pemohon yang layak. Akhirnya, tiada seorang pun dalam kalangan yang hadir mesyuarat berjaya memperolehi projek.

“Azam (Baki) mengesahkan bahawa timbalan pendakwa raya telah membuat keputusan tiada pendakwaan terhadap saya. Maka ini adalah sangat biadap, angkuh dan berniat jahat oleh Anwar dan Saifuddin untuk memberi persepsi yang salah bahawa saya telah melakukan kesalahan rasuah,” katanya.

FMT turut mendapatkan pengesahan daripada wakil SPRM sama ada Azam pernah memaklumkan tiada sebarang pendakwaan akan dibuat terhadap Zakaria.

Perkara itu pernah dinyatakan oleh Azam ketika dihubungi media, sekali gus menganggap kes itu telah selesai setelah SPRM mengakui khilaf mengantar surat kepada PKR berhubung siasatan ke atas Zakaria.

Zakaria turut menuduh Anwar dan Saifuddin berpura-pura dengan menganggap pengakuan SPRM bahawa badan itu silap dalam isu surat kepada PKR sebagai tidak penting.

“Ini sangatlah mengejutkan dan menunjukkan bahawa mereka tidak memahami kepentingan mewujudkan satu proses yang adil dalam mengadili isu disiplin.

“Saya tegaskan lagi bahawa pemecatan ini tidak adil dan tidak sah kerana melanggar peraturan parti. Saya menggesa Anwar, Saifudin dan pemimpin parti membetulkan keadaan.

“Saya juga mengingatkan supaya mereka tidak bersembunyi di belakang tabir SPRM untuk mengaburi mata rakyat mengenai kesilapan mereka. Mereka sepatutnya bertindak dengan penuh kesaksamaan bertepatan dengan prinsip reformasi yang kita junjung,” katanya.

Anwar sebelum ini mempertahankan pemecatan dua ahli PKR, termasuk Zakaria yang merupakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Meskipun SPRM mengakui terkhilaf mengeluarkan cadangan tindakan tata tertib kepada parti politik, presiden PKR itu menegaskan kandungan surat yang mendedahkan bukti salah laku dua ahli berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

Anwar berkata, PKR terpaksa mengambil tindakan tegas memecat mereka kerana kandungan surat yang dihantar SPRM itu sangat “serius dan substantif” daripada segi fakta kesalahan dilakukan.

Ahad lepas, pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim berkata, pihaknya mencadangkan Zakaria dan seorang anggota PKR dari Pahang Ismail Dulhadi dipecat atas nasihat SPRM kerana disyaki terbabit perbuaan rasuah.

 



Comments
Loading...