Komunis selamatkan Anwar?
MOHD NASIR ABDULLAH, HARAKAH
SUDAH banyak kali kita dihidangkan dengan cerita Komunis dalam banyak laporan berita di Malaysia mutakahir ini. Cerita kisah lama yang menyayat hati dan melukakan perasaan kaum keluarga mangsa kekejaman Komunis, seperti ditambah lagi dengan taburan garam ke atas luka lama yang masih berdarah itu. Sejarah lama itu, kini dikocak-kocak semula, menaikkan keladaknya untuk entah apa maksudnya.
Pastinya bertambah pilu permainan perasaan ini dengan perkhabaran abu Chin Peng, telah berjaya dibawa masuk. Dan selang beberapa hari setelah berita itu disebarkan, timbul pula berita re-union bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) yang diadakan kononnya bagi memperingati peristiwa perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia dengan PKM di Hatyaai yang berkebetulan juga Perdana Menteri ketika itu sama dengan yang sekarang.
Saya melihat berita-berita ini, seperti tidak mendapat perhatian yang serius daripada pihak berkuasa, berbanding dengan keadaan dahulu, apabila menyebut komunis, ia adalah satu perkataan jijik. Jangankan bangsa cina biasa, malah pernah juga PAS dikaitkan dengan Komunis, hanya bagi memberikan gambaran yang PAS ini jahat. Begitulah eratnya hubungan antara Komunis dengan kejahatan, ibarat aur dengan tebing, isi dengan kuku. Sehingga jika sesiapa yang dipalitkan dengan Komunis, maka jahatlah dia dilihat.
Dan apabila suasana ketika ini agak tenang, tanpa tindakan yang keras oleh kerajaan seperti dahulu, saya terfikir, kenapakah ia terjadi sebegini? Adakah pihak keselamatan sudah hilang kekuasaan di bawah PH? Atau angkatan bersenjata di Malaysia sudah pudar ghairah mereka menentang Komunis? Atau Komunis sudah menguasai Kerajaan PH yang kita sedia maklum dipegang oleh DAP yang secara terang memperakui perjuangan Komunis?
Pada pandangan saya, ianya hanyalah satu keadaan yang dirancang. Ramai mungkin tidak menyedari yang pertelagahan yang sangat serius, berlaku di dalam PKR sekarang, boleh membawa kepada malapetaka kepada PH. Walaupun DAP menguasai PH, tetapi parti yang mendominasikan kerusi dalam PH, ialah PKR. Anwar dan Azmin saling serang-menyerang antara mereka. Petanda buruk kejatuhan pakatan mereka.
Azmin yang diketahui sebagai peluru Tun Mahathir, sekarang melalui penyokongnya mengugut untuk mengadakan satu lagi kongres PKR, berbeza dengan kongres yang bakal diadakan pada 6,7 dan 8 Disember ini. Berbalah lagi mereka dengan isu siapa merasmikan persidangan AMK. Pemecatan dua orang ahli PKR yang mana salah seorangnya ialah Ketua Cabang Bera, Zakaria Abdul Hamid baru-baru ini, adalah serangan terbaru Anwar ke atas Azmin. Entah apa dasar PKR, memecat ahlinya yang belum didakwa di mahkamah.
Kalau dahulu, prinsip mereka, tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Mereka mengutuk Umno kerana mengamalkan politik wang. Mereka mahukan pesalah-pesalah politik wang Umno dibicarakan, bukan ditentukan nasib mereka hanya kepada Jawatankuasa Disiplin parti sahaja. Dedahkan semuanya, seru mereka. Sosok seperti Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Muhammad Taib antaranya. Nah, sekarang, mereka membicarakan pesalah rasuah parti dalam kelompok mereka sahaja. Prinsip mana, prinsip?
Dan dengan dakwaan Azmin bahawa 19 orang MPP PKR tidak bersetuju dengan hukuman itu, telah memperlihatkan serangan balas yang agak keras Azmin terhadap Anwar. Azmin dilihat sangat berani menyerang kembali Anwar, insan kamil lagi mutakammil (gelaran kepada Anwar oleh Mat Sabu ketika mereka bermusuh dahulu). Ianya jelas, Azmin tidak akan masuk ke kancah perang jika dia tiada kelengkapan senjata dan pasukan yang kuat. Pastinya Azmin tahu itu.
Jadi, ada tangan-tangan di belakang Azmin yang membantunya dalam menghadapi perang ini. PKR boleh pecah kerana perang ini jika tidak ditangani dengan baik. Oleh itu keselamatan PH berada di dalam keadaan genting sekarang, di sebalik desakan Anwar untuk Tun mengundurkan diri. Jika PH pecah, akibatnya sangat buruk bagi mereka, tetapi menjadi kegembiraan kepada 30 juta rakyat Malaysia. Itu belum masuk cerita ada cadangan AMK mahu mengusulkan undi tidak percaya kepada Anwar.
Tiba-tiba Ronnie Liu, pemimpin DAP yang paling lantang menyalak, mendesak Tun turun untuk digantikan dengan Anwar, melembutkan lidahnya dengan memuji Tun atas sikap Tun terhadap isu abu Chin Peng. Keluar pula cerita re-union bekas ahli PKM dengan kehadiran seramai lebih kurang 400 orang. Apa kisah sebenarnya? Ia adalah cubaan memendamkan kepanasan perbalahan PKR. Tapi, mana mungkin kamu membakar tayar getah di padang yang lapang, tidak mahu dinampakkan asapnya.
Jadi cerita-cerita Komunis ini, bakal dijadikan perisai menyelamatkan Anwar dengan merancang menundukkan Azmin bagi beliau meneruskan cita-citanya untuk menjadi PM. Fikir mereka, rakyat akan melupakan sengketa PKR dengan mengalihkan perhatian kepada isu Komunis ini. Sudah tentu DAP yang berada di belakang sekali gus juga mencuba kedalaman sensitiviti masyarakat Melayu Islam dengan Komunis ini. Serampang dua mata.
Jadi, jangan kita terpedaya dengan mainan politik murahan PH ini. Ya, Komunis suatu isu besar, tetapi saya yakin yang ia ditimbulkan demi sebuah cita-cita dari orang yang kemaruk mahu menjadi PM. PH ialah suatu mudharat kepada Malaysia. Tun dan Azmin adalah salah satu daripada anggota mudharat ini. Tetapi, mengambil bandingan dengan Anwar dan DAP, ianya jauh lebih buruk dari mudharat Tun dan Azmin. Maka seperti biasa, dalam feqah, kita memilih mudharat yang ringan daripada mudharat yang besar.
Semoga Tun dan Azmin berjaya menggagalkan rancangan Anwar bersama DAP ini bagi menguasai Malaysia. Sebagaimana kata Presiden PAS, Tun Mahathir, semakin tua, semakin menjadi. Sungguh memualkan, sikap yang selalu berkelahi terutama dengan kawan, tetapi masih galak mahu menjadi PM. Atau ada yang masih percaya dan bermimpi harga minyak turun bila beliau jadi PM? Hentikanlah. PAS sudah masak dengan perangainya ini.