Penyokong Komunis semakin mencabar


(Harakah) – SEMAKIN berani nampaknya bekas-bekas pengganas Komunis dan para penyokong mereka.

Bermula dengan cubaan menyebarkan idealogi Komunis dalam buku komik dan diikuti oleh tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng.

Hari ini pula satu perhimpunan terbuka mengagung-agungkan para pengganas Komunis telah dilangsungkan di New Era College dihadiri oleh kira-kira 300 peserta.

Nama majlis kelihatan tak salah, iaitu “Memperingati Ulang Tahun Ke-30 Penandatangan Perjanjian Damai Hatyai”.

Apa yang kelihatan salah ialah bila pesertanya secara terbuka mengagung-agungkan para pengganas Komunis.

Bekas pengganas Komunis, Tan Yi Yu, berkata tujuan majlis itu dianjurkan bukan sahaja untuk memperingati perjanjian damai, tetapi juga untuk menegakkan kebenaran bahawa para pengganas Komunis adalah pejuang kemerdekaan, demokrasi, kebebasan dan keamanan.

Pemimpin DAP, Ronnie Liu, pula, selain dengan bangganya mendedahkan bahawa datuk dan abang beliau adalah pengganas Komunis, siap memberi tabik hormat kepada para pengganas Komunis selaku patriot dan pejuang kemerdekaan.

Bersungguh-sungguh sekali nampaknya golongan ini mahu mengubah sejarah negara dan jika mereka tidak dihalang pastilah usaha mereka akan berjaya.

Petandanya sudah semakin jelas, jika sebelum ini orang malu dan tidak berani mengaku saudara terdekat mereka pengganas Komunis kini ia seolah-olah menjadi kebanggaan pula untuk mengumumkannya secara terbuka.

Apalah yang nak jadi dengan negara kita agaknya?

 



Comments
Loading...