Saudara jumpa setahun sekali tiba-tiba jadi pakar soal hidup saya – Yusoff Rawther
(Malaysia Gazette) – Selepas hampir lapan jam memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak pukul 1 tengahari ini, Muhammad Yusoff Rawther akhirnya muncul di hadapan media di perkarangan pintu masuk premis itu pukul 9.15 malam tadi.
Tampil bersama peguamnya Datuk Mohamed Haniff Kathri Abdulla, Yusoff menyatakan perasaan terkilan dengan tindakan mengejut datuk saudaranya Mohideen Abdul Kadeer yang muncul secara tiba-tiba dan mengeluarkan kenyataan melulu serta tidak masuk akal.
Kata bekas Penolong Penyelidik Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, ahli keluarganya terutama ibu bapa dan adik beradik terus kuat dan tabah serta menyokong tindakannya selepas laporan polis dibuat dicabul Anwar pada Oktober lalu.
“Ahli keluarga saya kuat dan tabah hadapi situasi ini, ini datuk saudara saya seseorang yang saya jumpa setahun sekali semasa hari raya Aidilfitri secara tiba-tiba jadi pakar dalam soal hidup saya hari ini.
“Ia agak mengejutkan saya. Keluarga saya sudah tampil dengan kenyataan dan saya membiarkannya setakat itu. Mana mana individu yang bukan sebahagian keluarga saya lebih baik tidak sibuk campuri urusan saya,” katanya kepada media yang menunggu lapan jam untuk mendapatkan reaksinya.
Ditanya sama ada Muhammad Yusoff atau keluarganya menerima sebarang ugutan atau ancaman mana-mana pihak, peguamnya Mohamed Haniff berkata, setakat ini tiada kejadian seumpama itu bagaimanapun pihaknya perlu lebih berwaspada selepas ini.
Haniff menjelaskan Yusoff Rawther dipanggil pihak polis untuk memberi kenyataan lanjutan daripada laporan polis dan akuan bersumpah yang dibuatnya pada Sabtu, 7 Disember lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Menurutnya kenyataan telah diambil sejak pukul 2 petang hingga hampir 9 malam dan seorang pegawai polis yang bertanggungjawab di atas fail kes tersebut telah merakam keterangannya untuk memulakan siasatan kes itu.
“Lepas ini, sama ada mereka akan ambil keterangan lanjut, dia akan hubungi saya atau Yusoff tapi untuk hari ini telah selesai. Tapi sekiranya pemberian keterangan tersebut, pihak polis ada apa-apa lagi nak tanya, mereka akan hubungi kami dari masa ke semasa.
“Keseluruhan proses rakam keterangan oleh polis dari pukul 2 hingga 9 malam tadi ada waktu rehat diberikan untuk Yusoff dan waktu bersolat. Ia adalah satu proses yang perlu dilalui oleh mana-mana mangsa yang perlu beri keterangan tetapi tidak apa-apa yang memudaratkan melainkan tempoh masanya.
“Di saat dan ketika ini, kami rasa perkara ini dimaklumkan sebelum ini yang mana pertama sekali ada segolongan pihak yang mengatakan kononnya mereka keluarga kepada Yusoff dan buat kenyataan tanpa usul periksa.
“Saya percaya pada 6hb Disember lalu, bapa Yusoff telah keluarkan kenyataan media, dan dari situ dapat dilihat ada pihak-pihak tertentu yang cuba ambil kesempatan dalam hal Yusoff namun setakat ini tiada ugutan tapi perlu waspada,” ujarnya.