‘Anwar, senaraikan Ahli Parlimen sokong kamu jadi PM kelapan’ – Khairuddin


(Astro Awani) – Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menyenaraikan nama-nama Ahli Parlimen yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, nama-nama itu kelak perlu dimaklumkan Presiden PKR itu kepada Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam kadar segera untuk tindakan selanjutnya.

“Apa yang Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari selaku pakar di bidang perlembagaan tunggu lagi? Abdul Aziz sepatutnya terus menasihati Anwar untuk mengadap Agong bagi mendapat perkenan untuk melaksanakan peralihan kuasa. Jangan tunggu lagi.

“Sekiranya fakta tidak cukup, adalah lebih baik buat Abdul Aziz agar duduk diam-diam dan jangan bercakap semata-mata hanya untuk memberi keyakinan palsu kepada keseluruhan rakyat Malaysia dalam isu ini.

“Sesungguhnya, Anwar sudah lama menjadi bakal Perdana Menteri. Kalau Anwar sendiri tahu dia mempunyai cukup sokongan, sudah lama dia bertemu Agong walaupun terpaksa ke Istana Negara pada waktu malam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Abdul Aziz menyatakan Anwar mempunyai sokongan cukup untuknya menjadi Perdana Menteri.

Tambah Abdul Aziz, Anwar juga mempunyai sokongan kebanyakan Ahli Parlimen daripada PKR, DAP dan Amanah termasuk beberapa dari UMNO.

Dalam pada itu kata Khairuddin, analisa Abdul Aziz itu selalunya tersimpang jauh dari fakta dan tidak pernah terbukti keberkesanannya.

“Dia seorang tokoh akademik yang tidak habis-habis beretorika mengenai hasil analisanya tetapi apa yang lebih malang hasil kerjanya tidak pernah tepat.

“Bagi saya, Anwar semakin tercalar dengan pelbagai isu salah laku dan dilihat boleh lakukan apa saja demi untuk berpaut pada jawatan Perdana Menteri,” ujarnya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Dalam satu temubual bersama Bloomberg, Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, tidak akan terlalu cerewet mengenai tempoh tepat pengambilalihan tersebut.

 



Comments
Loading...