Sodomy 3.0: Anwar, beberapa saksi akan dipanggil Polis
(Malaysia Gazette) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa saksi lain yang berkaitan untuk memberi keterangan susulan dakwaan Muhammed Yusoff Rawther dirinya dicabul Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua mereka akan dipanggil setelah PDRM mendapat tarikh temu janji yang sesuai.
Beliau berkata, pihaknya telah merakam keterangan Muhammed Yusoff pada Isnin lalu dan mengambil akuan bersumpah yang dibuat olehnya.
Malah, rakaman turut dibuat ke aras akuan bersumpah yang dibuat oleh pengadu, katanya dalam satu kenyataan di sini.
Huzir berkata, kes tersebut siasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara berserta beberapa cadangan berdasarkan dapatan hasil siasatan.
Semalam, Muhammed Yusoff hadir semula ke Bukit Aman buat kali kedua untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
Muhammad Yusoff telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul Sabtu lalu supaya polis menyiasat dakwaannya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.
Rabu lepas, bekas pegawai penyelidik itu membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul Anwar pada 2 Oktober tahun lepas.
Namun, perkara itu dinafikan Presiden PKR dengan mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada tarikh berkenaan.
Huzir juga mengingatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang spekulasi berkenaan siasatan yang dijalankan.