Otai Reformis macam NGO nyamuk, lebih baik diam – Zuraida
(Malaysia Gazette) – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menganggap segelintir pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) yang mengeluarkan kenyataan berhubung krisis dalaman partinya tidak lebih sekadar pengacau.
Malah Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyamakan kumpulan itu sebagai nyamuk yang kerjanya terbang dan menggigit orang.
Antara yang dimaksudkan oleh Zuraida termasuklah Otai Reformis 98 yang sebelum ini mendesak supaya PKR memecat dirinya yang didakwa mengaibkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan di sebuah hotel di ibu negara Ahad lalu.
“Biasalah ‘nyamuk’. Suka terbang-terbang, gigit orang bagi gatal-gatal. Gatal-gatal kita garu sahaja, sikit sahaja. Bagi saya mereka ini seperti telur separuh masak sahaja. Tidak tahu apa pun.
“NGO-NGO seperti ini yang tidak tahu apa-apa yang sedang berlaku dalaman lebih baik jangan terlibat. Asyik melaga-lagakan semua pihak.
“Ini adalah tempoh bertenang untuk kedua-dua belah pihak. Demi kemakmuran dan kepentingan semua termasuk negara, yang lain tidak relevan boleh diam sahaja,” katanya.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian selepas merasmikan Projek Komuniti HUB Majlis Perbandaran Ampang Jaya 2019 di Flat Taman Dagang Jaya hari ini.
Ketika ditanya oleh pemberita adakah Otai Reformis 98 antara NGO itu, sambil tertawa sambil menyatakan: ‘Ya, antaranya’.
Sebelum ini, Otai Reformis 98 mendesak PKR memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan enam pemimpin parti itu yang didakwa melanggar disiplin parti, khususnya tidak menghormati Anwar.
Enam pemimpin dimaksudkan ialah Zuraida dan Tian Chua; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Timbalan Ketua Angkatan Muda (AMK) Nasional, Muhammad Hilman Idham dan Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin.
Katanya, Otai Reformis 98 turut menyifatkan tindakan pemimpin terbabit yang tidak hadir atau keluar dewan ketika Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka Sabtu lalu sebagai sabotaj terhadap parti serta Presiden.