Najib: Siasatan mengenai terowong Pulau Pinang ‘didiamkan’ kerana DAP?


(FMT) – Najib Razak hari ini mendakwa polis dan Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) mendiamkan diri berhubung dokumen yang dikaitkan dengan penyiasatan ke atas projek terowong Pulau Pinang kerana ia akan membabitkan DAP.

Pada Mac, SPRM membuat laporan polis selepas penulis blog politik Raja Petra Kamarudin mendedahkan perkembangan yang menurut beliau didasarkan kepada dokumen yang dibocorkan mengenai projek tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pelan pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM40 bilion.

Dalam tulisan di blognya, Raja Petra membabitkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang pada ketika projek tersebut dirancang, dan beberapa orang anggota Exco kerajaan negeri berkenaan, termasuk Chow Kon Yeow (ketua menteri sekarang) serta Abdul Malik Abul Kassim dan Lim Hock Seng (bekas Exco).

Najib berkata, Presiden MCA Wee Ka Siong mendesak SPRM supaya mengesahkan ketulenan dokumen yang dibocorkan itu dan telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun bertanyakan isu tersebut.

Wee tidak mendapat apa-apa jawapan balas, kata Najib, dan beliau telah sekali lagi menulis surat kepada pengganti Fuzi, Abdul Hamid Bador dan Latheefa Koya, yang menggantikan Mohd Shukri Abdull sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Namun tiada jawapan diberikan sama ada berhubung ketulenan laporan yang dibocorkan itu atau mengenai kebocoran itu sendiri, kata Najib.

“Kenapa surat ini susah untuk dijawab?” soalnya di Facebook.

“(Ini) kerana jika disahkan bahawa laporan polis yang dibuat oleh SPRM adalah mengenai pembocoran dan bukan pemalsuan, maka ia juga akan mengesahkan bahawa pemimpin kanan DAP terlibat dengan rasuah besar, termasuk kepentingan 10% dalam projek terowong.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mahu memberi komen tentang pembocoran kertas siasatan, tak mahu debat, tak mahu sahkan laporan polis, tak mahu buat siasatan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) dan tak benarkan skandal terowong dibincang dalam Parlimen,” katanya.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu merupakan sebahagian daripada projek bernilai RM6.3 bilion yang turut merangkumi 3 jalan raya berkembar.

Ia merupakan sebahagian daripada pelan induk pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM40 bilion yang turut melibatkan pembinaan 3 pulau buatan di bahagian selatan pulau berkenaan.

 



Comments
Loading...