Yusoff Rawther selesai 4 jam ujian poligraf (dengan video)


(FMT) – Muhammed Yusoff Rawther sekadar mengangguk sambil menjawab “lebih daripada puas” apabila ditanya adakah dia berpuas hati dengan ujian poligraf yang dijalankan hari ini dalam siasatan tuduhan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim.

Lelaki berusia 26 tahun itu, yang ditemani peguamnya, Haniff Khatri Abdulla, ditemui pemberita di Bukit Aman malam tadi selepas 4 jam menjalani ujian itu.

“Tiga pakar daripada jabatan-jabatan yang berkenaan menjalankan ujian itu terhadap Yusoff dan saya yakin laporannya akan diserah kepada penyiasat dalam beberapa hari,” katanya Haniff.

Peguam itu berkata dia tidak tahu apakah soalan yang diajukan kepada anak guamnya.

“Saya tidak dibenarkan berada dalam bilik itu,” katanya.

“Ujian itu antara perkara yang Yusoff mahu lakukan bagi menunjukkan keikhlasan dan kejujuran dalam siasatan ini,” tambahnya.

Penampilannya di Bukit Aman hari ini merupakan sesi ke-3 bersama Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5), selepas laporan polisnya melancarkan siasatan menurut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seorang.

Ujian poligraf, yang digunakan polis, tentera dan Suruhanja Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka, memberi petunjuk fisiologi ketika sesi soal siasat, walaupun ia tidak semestinya diterima di mahkamah.

Anwar yang memberikan keterangan kepada polis minggu lalu sebelum pihak berkuasa ke rumahnya di Bukit Segambut dalam siasatannya, memberi jaminan untuk bekerjasama dengan siasatan tersebut.




 



Comments
Loading...