SD Azilah: Puluhan saksi disenarai untuk rakam keterangan – KPN
(Malaysia Gazette) – Polis telah menyenaraikan berpuluh individu untuk memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam siasatan kes Akuan Bersumpah (SD) yang dilakukan Azilah Hadri dari Penjara Sungai Buloh.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kes itu melibatkan banyak aspek dan siasatan yang dilakukan berjalan lancar.
“Maka berhubung SD Azilah kes telah berjalan lancar dan beberapa orang saksi individu telah disenarai untuk dipanggil polis.
“Polis akan menunggu apa jua arahan spesifik yang mungkin ada dari Pejabat Peguam Negara. Polis sudah ada modus operandi dalam perkara ini untuk mengendalikan dan menyelesaikan kes mengikut Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan polis.
“Kami tidak akan diamkan diri dalam perkara ini tetapi PDRM ambil maklum terhadap semua perkara-perkara yang menjadi tarikan perhatian umum yang boleh jejaskan ketenteraman negara,” katanya dalam sidang media di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman pagi ini.
Terdahulu beliau hadir menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah dan Pengerusi Perkep Jabatan Logistk dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Kesalamatan Komuniti.
Bagaimanapun, Abdul Hamid enggan mengulas ketika ditanya sama ada bekas Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak disenaraikan untuk memberi keterangan,
Sebelum ini Azilah yang merupakan salah seorang daripada dua bekas anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang disabitkan kesalahan membunuh model, Altantuya Shaariibu dan dijatuhkan hukuman mati mendakwa Najib yang ketika itu adalah Menteri Pertahanan telah mengarahkannya untuk membunuh wanita warga Mongolia itu.
Azilah yang sedang menantikan hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang mendakwa Najib mengeluarkan arahan membunuh wanita itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah agen perisik asing yang mengancam keselamatan negara.
Azilah memfailkan Akuan Bersumpah berkenaan dengan afidavitnya sebagai tindakan memohon mahkamah menyemak semula keputusan hukuman mati dan memohon kes dibicarakan semula.
Jumaat lalu, Najib melakukan bersumpah laknat di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, bahawa beliau tidak mengeluarkan arahan membunuh Altantuya.