Himpunan di Kajang bantah Dong Jiao Zong esok


(Ismaweb) – Angkatan Gerak Minda Malaysia (AGRA) bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) akan menganjurkan perhimpunan di Kolej New Era, Kajang, esok.

Himpunan berkenaan dijalankan bagi membantah usaha Dong Jiao Zong menganjurkan Kongres Organisasi Cina bagi menolak pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Menurut atur cara program, ketiga-tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan berkumpul pada pukul 6 pagi bagi menunaikan solat Subuh secara berjemaah di hadapan Kolej New Era.

Ia kemudian diikuti kuliah Subuh sebelum memulakan demonstrasi bantahan pada pukul 7 pagi.

AGRA menyifatkan perhimpunan anjurannya itu bertujuan menyelamatkan Dong Jiao Zong daripada menjadi pengkhiatan disebabkan oleh kealpaan mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga NGO itu mendesak Dong Jiao Zong segera menghentikan hasrat penganjuran kongres yang jelas mengkhianati kepentingan negara.

Ini kerana, kata mereka, penganjuran kongres membantah pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular bertentangan dengan perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32: Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 dalam masa yang sama mencabar kedaulatan institusi raja-raja.

Kongres Organisasi Cina dijadual berlangsung esok kononnya untuk membantah garis panduan pengajaran tulisan jawi terkini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kongres itu bertujuan menggesa kerajaan membatalkan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi di sekolah vernakular.

Garis panduan baharu oleh kementerian membenarkan ibu bapa memutuskan sama ada pengajaran itu boleh diperkenalkan di sekolah dan pengajaran akan diteruskan jika lebih dari separuh ibu bapa murid bersetuju.

Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) tidak bersetuju dengan syarat itu kerana dilihat akan menimbulkan perselisihan dan menyebabkan ketidakharmonian antara ibu bapa berbeza kaum yang menghantar anak mereka ke sekolah vernakular.

Kumpulan pendesak itu menegaskan bahawa lembaga pentadbir sekolah sepatutnya diberi kuasa untuk memutuskan mengenai pelaksanaan pengajaran tiga muka surat tulisan jawi yang dijadualkan bermula tahun depan untuk murid tahun empat.

 



Comments
Loading...