Lokman bidas Pemuda Umno desak beliau letak jawatan


(FMT) – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam membidas Pemuda Umno yang mendesaknya meletak jawatan kerana mendakwa Presiden, Ahmad Zahid Hamidi campur tangan dalam siasatan Lembaga Disiplin ke atas bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein.

Katanya, beliau terpaksa mempertahankan Zahid bersendirian dan menjadi mangsa pelbagai kecaman ketika Pemuda Umno menyerang Zahid “secara berjemaah” selepas beliau dipilih sebagai presiden pada tahun lalu dan menggesanya meletak jawatan atas dakwaan tidak mampu memimpin parti itu.

Tetapi katanya, Pemuda Umno kini berubah secara drastik dan bersolidariti atas arahan ketuanya untuk mempertahankan Zahid.

“Bila saya lahirkan kekecewaan saya terhadap tindakan presiden melanggar perlembagaan parti yang secara jelas memperuntukkan kuasa kepada Lembaga Disiplin Umno untuk menyiasat sesiapa saja secara bebas tanpa diganggu, saya dianggap salah kerana melahirkan kekecewaan saya itu di media sosial.

“Saya nak tanya satu saja, semasa Pemuda desak presiden letak jawatan, sidang media tu tidak menggunakan media sosial ke? Kenyataan ketua-ketua Pemuda yang desak saya dipecat hari ini bukan guna media sosial juga ke? Kenapa kalian boleh, tetapi saya tidak?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pemuda Umno Kelantan dan Johor menggesa parti memecat keahlian Lokman dan jawatannya dalam Majlis Tertinggi.

Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa hari ini dilapor menafikan wujud campur tangan dalam urusan Lembaga Disiplin parti itu susulan tindakan Pengerusinya, Mohamed Apandi Ali meletak jawatan berkaitan siasatan ke atas Hishammuddin.

Katanya, Lembaga Disiplin kekal bebas seperti termaktub dalam perlembagaan parti untuk membuat sebarang siasatan dan melaporkan hasil siasatan kepada Majlis Tertinggi Umno.

Terdahulu, Apandi mengesahkan beliau akan meletak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan tuduhan salah laku Hishammuddin.

Katanya, beliau tidak mahu dipersalahkan berhubung pembatalan sesi perjumpaan Lembaga Disiplin parti dengan Hishammuddin pada 26 Dis lalu.

 



Comments
Loading...