Jho Low rapat dengan seorang Raja Melayu, kata Kadir Jasin
(Sinar Harian) – Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai evil genius iaitu orang pintar yang jahat.
Beliau berkata, untuk menjadi ‘orang perantaraan’ dalam skandal kewangan terbesar di dunia seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukanlah sesuatu yang berlaku sekelip mata atau tanpa perancangan rapi.
“Kalau tidak, bagaimanakah kita hendak memahami kejayaannya dalam usia 28 tahun merapatkan diri dengan seorang Raja Melayu?
“Selepas itu dengan Perdana Menteri yang juga seorang Melayu. Tambahan pula bukan Melayu sembarangan tetapi Melayu yang mendakwa dirinya pahlawan dan pendekar Bugis, ” katanya yang dipetik menerusi penulisan di blognya hari ini.
Menurutnya, Jho Low juga sedar bahawa di Malaysia, orang Melayu (Bumiputera) menguasai politik dan Cina mendokong ekonomi, ada beberapa perkara perlu diutamakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Jho Low tahu majoriti orang Melayu amat setia kepada Raja dan memandang tinggi orang Arab. Dia tahu dengan perkenan Raja, lebih mudah baginya mendapat kerjasama pemimpin politik dan kakitangan awam Melayu.
“Orang Arab yang dipandang tinggi oleh orang Melayu amat berguna bagi Jho Low kerana mereka mempunyai apa yang dia idam-idamkan iaitu duit yang banyak.
“Maka itulah yang dia gunakan untuk membina kekuatannya sebagai ‘wheeler-dealer’. Dia menggabungkan daulat Raja, kuasa politik dan pentadbiran Melayu dan duit Arab.
“Jho Low bukan budak Cina biasa yang membenamkan muka ke dalam buku dan bekerja keras siang malam mencari duit. Dia adalah ‘playboy’ montel yang suka berfoya-foya dengan bintang filem Hollywood,” katanya.
Tambahnya, 1MDB adalah skim cepat kaya yang mengikat erat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Jho Low. Dan dalam proses itu, mereka mengheret dan membabitkan istana, parti-parti politik, badan-badan penguatkuasaan perbankan, bintang filem Hollywood dan suri dalam dapur.
“Dengan menggunakan 1MDB sebagai ‘front’ dan atas bantuan Najib serta beberapa orang birokrat Melayu, Jho Low meminjam berpuluh bilion ringgit kononnya untuk melabur dalam projek milik keluarga di raja Arab.
“Jadi tidaklah menghairankan kalau wartawan luar negara terus menyiasat hubungan Jho Low dengan Bank Negara sehingga wang yang begitu banyak boleh masuk keluar tanpa sebarang reaksi luar biasa daripada bank pusat ini,” katanya.
Jelasnya, inilah keistimewaan ‘evil genius’ Jho Low. Dia kenal semua orang Melayu yang ada kuasa dan berjaya memperalatkan mereka.
Terdahulu, Jho Low mendakwa beliau hanya bertindak sebagai perantara untuk perjanjian melibatkan 1MDB menerusi laporan dikeluarkan Reuters.
Kenyataan itu, sekali gus menafikan tuduhan beliau merancang untuk melarikan berbilion dolar Amerika Syarikat (AS) daripada dana milik negara Malaysia tersebut.
Sebelum ini, Jho Low berulang kali membuat penafian tentang salah laku dan dakwaan penyelewengan melibatkan AS$4.5 bilion (RM18.5 bilion) daripada 1MDB yang didakwa bermotifkan politik.