AZMIN BELUM BOLEH BERSYUKUR LAGI, NAMANYA TIDAK DIBERSIHKAN PUN OLEH PEGUAM NEGARA
Shahbudin Husin
Sebaik diumumkan tiada pendakwaan terhadapnya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali lantas memanjatkan rasa syukur kerana pihak berkuasa telah membersihkan namanya.
Katanya, sejak dari awal beliau konsisten mengatakan video tersebut adalah komplot untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan tidak pernah ragu bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Saya sudah membaca kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas berkenaan video fitnah terhadap saya. Segala puji bagi Allah kerana membolehkan kebenaran mengatasi kejahatan dan walaupun saya dibersihkan sepenuhnya, saya berdoa tiada lagi yang akan menghadapi politik keji seperti ini,” kata Timbalan Presiden PKR itu dalam kenyataannya.
Peguam Negara Tommy Thomas hari ini berkata, tiada pertuduhan akan dibuat dalam kes video intim kontroversi, yang dipercayai merujuk kepada video yang mengaitkan Azmin dengan bekas ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Thomas dalam kenyataan berkata, ini kerana pakar forensik AS “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusinya yang rendah atau gambarnya kabur.
“Laporan bebas oleh pakar forensik Amerika Syarikat mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas,” katanya.
Berdasarkan kenyataan Peguam Negara itu, sebenarnya adalah tanggapan syok sendiri Azmin saja yang mengatakan dirinya telah dibersihkan daripada skandal hubungan sejenis dengan Haziq.
Peguam Negara sama sekali tidak membersihkan namanya, kecuali hanya mengatakan pendakwaan tidak dapat dilakukan kerana gambar Azmin dalam video itu dikatakan kabur lantaran resolusinya yang rendah.
Peguam Negara tidak menyebut langsung bahawa pelaku dalam video tersebut bukan Azmin sebagaimana yang dipercayai oleh majoriti rakyat Malaysia yang sudah menontonnya.
Juga tidak disebut bahawa video itu bukan asli atau semuanya adalah fitnah terhadap Azmin. Yang dikata cuma gambarnya saja yang kabur.
Bagi mereka yang telah menonton klip video tersebut, kenyataan Peguam Negara adalah lawak jenaka era Malaysia Baru yang berperdana-menterikan PM7, tetapi jiwa dan hatinya saling tak tumpah seperti PM4 dahulu.
Rata-rata berpendapat, video tersebut adalah jelas dan sukar untuk menidakkan ianya bukan Azmin, malah budak belum bersunat pun jika menontonnya akan dapat melihat persamaan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang gambarnya selalu mereka tonton dalam televisyen.
Sehubungan itu, ramai yang percaya kenyataan Peguam Negara tentang tiadanya pendakwaan terhadap Azmin adalah skrip yang sudah disediakan oleh pihak yang memang sejak awal mahu melindungi Timbalan Presiden PKR itu.
Kata mereka, jika suara Najib Razak dapat dikenalpasti dengan mudah dalam rakaman audio yang diperdengarkan kepada media oleh SPRM baru-baru ini, maka agak mustahil muka dan wajah Azmin tidak dapat dikenali dalam video hubungan seks sejenisnya dengan Haziq, termasuk dalam versi HD yang turut disebarkan.
Selain itu, kenyataan Tommy Thomas berhubung tiada pendakwaan itu juga tidak menyentuh langsung tentang pengakuan Haziq sebelum ini bahawa beliaulah lelaki dalam video tersebut dan pasangan seks sejenisnya tidak lain tidak bukan adalah Azmin.
Kenapa pengakuan Haziq tidak diambil kira dan tiada pendakwaan diputuskan hanya berdasarkan dapatan dalam video saja?
Bukankah dalam kes liwat 1 yang melibatkan Anwar Ibrahim, walaupun beliau dibebaskan akhirnya di peringkat Mahkamah Persekutuan, pertuduhan kepada bekas TPM itu hanya bersandarkan pengakuan Azizan Abu Bakar?
Secara kebetulan, kedua-dua kes – liwat 1 dan kes seks sejenis Azmin – berlaku di era PM4 dan PM7 iatu orang yang sama menjadi Perdana Menteri, cuma kepentingannya saja yang berbeza dalam kedua-duanya.
Untuk itu, Azmin sebenarnya belum dibebaskan sepenuhnya lagi, sebaliknya beliau cuma dibebaskan buat sementara saja atau sekurang-kurangnya selagi Tun Mahathir masih menjadi Perdana Menteri atau sehingga kesetiaannya tidak berkurangan kepada Perdana Menteri yang sudah berusia 94 tahun itu.
Apalagi, dalam kenyataan Peguam Negara itu juga menyebut – penyiasatan boleh dibuka semula jika dan apabila keterangan baru diperolehi yang memberi erti kes tidak ditutup sepenuhnya.
Ini sekaligus menyebabkan kesangsian rakyat terus berkembang mengenai keputusan Peguam Negara itu dan menjadikan ia perbualan yang tidak bertitik.
Makna kata, Azmin belum boleh bersyukur sepenuhnya lagi buat masa ini, apa lagi .jika mahu memotong pulut kuning berikutan keputusan Peguam Negara itu.
Beliau bukan saja tidak dibersihkan dalam erti kata sebenar, malah nyawa politiknya akan lebih terpenjara dalam poket Tun Mahathir.