‘Ada komplot jenayah mahu calar reputasi saya’ – Latheefa
“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan berkenaan, satu komplot jenayah dimulakan untuk mereka memalsu dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.”
(Berita Harian) – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, mendedahkan wujud komplot jenayah bagi memalsu dan mengedar bahan bertujuan mencalar reputasi peribadinya.
Sehubungan itu, pegawai khas teraju suruhanjaya berkenaan akan membuat laporan polis awal pagi esok dan menyerahkan bukti berhubung komplot terbabit yang dipercayai didalangi seorang peguam, kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Pada 8 Januari lalu, saya mengadakan sidang media selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mendedahkan demi kepentingan awam, rakaman audio beberapa perbualan telefon tertentu.
“Kini saya dapat tahu bahawa sebagai reaksi kepada pendedahan berkenaan, satu komplot jenayah dimulakan untuk mereka memalsu dan mengedar material bertujuan untuk mencalar reputasi peribadi saya.
“Kami percaya seorang peguam antara yang terbabit menjadi dalang di sebalik komplot ini, justeru laporan polis bakal dibuat dan bukti diserahkan pagi esok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 8 Januari lalu, SPRM mendedahkan nama 20 individu yang perbualan mereka dirakam, sama ada terbabit dalam perbualan atau disebut mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC).
Senarai itu termasuk beberapa tokoh asing, diperoleh daripada sembilan set rakaman perbualan selama 45 minit yang diperdengarkan SPRM pada satu sidang media.
Semua rakaman percakapan yang didedahkan itu berlaku antara 5 Januari hingga 29 Julai 2016, diperoleh SPRM awal tahun ini daripada entiti tidak didedahkan, malah agensi antirasuah berkenaan menaruh keyakinan rakaman terbabit adalah tulen.
Tekad menjalankan tanggungjawab, Latheefa menegaskan pihaknya ingin mengetengahkan mesej jelas kepada dalang di sebalik komplot susulan pendedahan audio itu bahawa SPRM tidak akan tergugat atau terancam ketika melaksanakan tugas.
“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Masyarakat umum meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap SPRM untuk membersihkan negara ini dari gejala rasuah.
“Saya bercadang untuk meneruskan tugas ini, walau apapun serangan peribadi atau ugutan dibuat ke atas saya, kini atau dalam masa akan datang,” katanya.