Ibupejabat Bersatu sahkan menerima borang Zuraida dari individu tak dikenali
(Harian Metro) – SETIAUSAHA Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Marzuki Yahya menafikan berita mengenai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin menyerahkan borang untuk menyertai parti itu seperti yang tular di media sosial hari ini.
Katanya, ibu pejabat parti menerima borang daripada individu tidak dikenali pada 4 petang hari ini dan ia diterima kakitangan bertugas.
Bagaimanapun katanya, semakan mendapati tiada lampiran salinan kad pengenalan dalam permohonan berkenaan yang menimbulkan keraguan.
“Bila kita semak dengan pejabat Zuraida, kita dapati ianya palsu dan tiada permohonan seperti ditularkan.
“Selain itu, nombor telefon yang ditulis di dalam borang juga didapati tidak sama selain tandatangan juga berbeza,” katanya kepada Harian Metro.
Marzuki berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ia dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mencetuskan spekulasi mengaitkan Ahli Parlimen Ampang itu dengan PPBM.
Katanya, pihaknya berharap ia tidak lagi diperbesarkan dan tidak ada pihak cuba melaga-lagakan mana-mana pemimpin politik, sebaliknya mengamalkan politik matang serta telus.
Gambar borang permohonan tertera nama Zuraida Kamaruddin tular di dalam media sosial petang ini sehingga mengundang spekulasi mengenai kedudukan Naib Presiden PKR itu.