Pihak desak Tun M letak jawatan dianggap bebal – Abdul Hadi
(Malaysia Gazette) – Mereka yang mendesak Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada Mei ini dianggap bebal terutama dalam ilmu agama dan politik.
Itu konotasi yang diberikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menurutnya, kalau mengikut sistem demokrasi dan perjanjian yang mematuhi syarak serta hukum Islam, Mahathir sepatutnya memegang jawatan itu sehingga habis penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jelas beliau, rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) sehingga berjaya membentuk kerajaan pada Mei 2018 kerana Mahathir bersedia berada di depan (sebagai Perdana Menteri).
“Yang desak Dr. Mahathir serah jawatan adalah (orang) bebal, tidak pandai. (Dr. Mahathir) nak letak jawatan macam mana tidak cukup syarat. (Pada saya) Tun M berdepan dengan orang yang bebal.
“Nak tukar Perdana Menteri bukan macam tukar drebar (pemandu) bas atau tukar bas ekspres. Saya harap peralihan ini tidak menyusahkan rakyat serta berlaku proses yang betul (demokrasi), mengikut undang-undang dan perlembagaan.
“Saya bukan nak bela Tun, tapi itulah yang berlaku, secara kebebalan. Tun tak perlu patuh dengan desakan, sebab desakan itu tak betul, tak ikut agama, tak ikut Islam. Tak ikut proses demokrasi,” katanya dalam sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.
Ditanya mengenai perjumpaannya dengan Mahathir baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, perjumpaan itu adalah urusan kerajaan negeri yang diperintah oleh Pas dengan kerajaan Persekutuan bukan untuk meminta menjadi menteri kabinet atau berpakat menubuhkan kerajaan.
“Saya jumpa bukan nak minta masuk kabinet atau nak jadi kerajaan, tak payah rungsinglah. Saya jumpa untuk hal urusan negeri yang kita merintah sahaja. Kita tak campur hal lain.
“Saya berjumpa dengan orang (Tun M) jika perlu, kalau tak perlu saya tak jumpa pun dengan sesiapa. Saya jumpa dengan semua perdana menteri atau masa dia bukan perdana menteri,” katanya.
Mengenai hasrat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjumpanya dalam masa terdekat ini, Ahli Parlimen Marang itu berkata, beliau sudah menjelaskan, (jumpa) kalau perlu sahaja.
“Saya dah kata kalau perlu, saya jumpalah (Anwar). Kalau tak perlu, buat apa nak jumpa,” katanya.