Otai Reformis akur arahan Anwar, tetapi tetap mahu Dr M berundur Mei ini
(FMT) – Kumpulan Otai Reformis akur dengan arahan Anwar Ibrahim yang menggesa semua pihak, termasuk parti komponen Pakatan Harapan (PH), supaya tidak membincangkan isu peralihan kuasa jawatan perdana menteri secara terbuka.
Setiausahanya, Abdul Razak Ismail bagaimanapun berkata, pihaknya merupakan NGO yang tidak terikat dengan arahan mana-mana parti politik dan berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.
Ini katanya, termasuklah membuat desakan supaya tempoh peralihan kuasa jawatan perdana menteri antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad dilakukan dalam tempoh 2 tahun ini agar ia “tidak dikhianati”.
“Pada dasarnya Otai sebagai NGO tidak terikat dengan arahan mana-mana parti politik walaupun secara zahirnya Otai condong menyokong PH.
“Kita hargai saranan Anwar itu dan ambil maklum tetapi Otai berpegang kepada konsep ‘kebebasan bersuara’ yang diperuntukan dalam perlembangan seperti yang diwar-war oleh PH sebelum ini,” katanya kepada FMT.
Razak berkata, mereka akan terus mengadakan program penerangan kepada rakyat berhubung janji peralihan kuasa antara Anwar dan Mahathir sebelum 10 Mei 2020.
“Kita akan terus adakan penerangan kepada orang ramai di seluruh negara seperti yang telah dirancang,” katanya.
Anwar yang juga presiden PKR sebelum ini menggesa semua pihak dalam PH supaya tidak membincangkan isu peralihan kuasa secara terbuka, susulan gesaan pimpinan PKR yang mendesak Mahathir melepaskan jawatannya.
Anwar berkata, beliau sendiri sudah memberi jaminan untuk menyokong Mahathir sebagai perdana menteri dalam mengemudi negara, terutamanya bagi mengukuhkan ekonomi negara.
Otai Reformis sebelum ini mendakwa tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan selepas setahun setengah Mahathir memegang tampuk pemerintahan kerajaan dan menggesa peralihan kuasa dilakukan dengan kadar segera.
Pengerusinya, Idris Ahmad berkata, sehingga hari ini kebanyakan menteri Kabinet “dipegang” oleh Mahathir hinggakan tiada yang berani bersuara mengenai tarikh peralihan kuasa.
Susulan kenyataan itu, kumpulan aktivis anak muda membuat laporan polis terhadap Otai Reformis semalam.
Pengerusi Angkatan Baru, Muzzammil Ismail berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, wujud rancangan dan mesyuarat sulit melibatkan kumpulan pro-Anwar itu untuk “menggulingkan” pentadbiran perdana menteri.
Mengulas laporan polis yang dibuat Angkatan Baru, Razak berkata, pihaknya akan membuat sidang media dalam masa terdekat bagi menangkis dakwaan itu.