Saifuddin saman Zuraida


(Berita Harian) – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin bukan hanya menerima surat tunjuk sebab atas salah laku disiplin, malah turut menerima surat saman darinya.

Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab dikeluarkan Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman dikeluarkan kerana mendakwa Zuraida mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadap dirinya.

“Selain surat yang dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin, saya ada bagi satu lagi surat saman, surat itu dikeluarkan secara peribadi dan tiada kena mengena dengan parti.

“(Surat saman itu mengandungi) ucapan dia yang mengandungi unsur pertuduhan dan fitnah terhadap saya, dan saya minta peguam saya untuk menghantar (surat saman),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), di sini hari ini.

Zuraida geng Azmin

Pada majlis berkenaan, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna turut merasmikan wajah baharu portal kementerian yang lebih mudah menyalurkan maklumat kepada pengguna.

Penambahbaikan baharu yang dibuat pada laman web berkenaan dikatakan lebih mesra pengguna dengan reka bentuk yang lebih responsif serta lebih mudah dicapai untuk akses lokasi pengguna.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada surat tunjuk sebab yang diberikan kepada Zuraida itu sudah dibalas atau sebaliknya, Saifuddin berkata, pihaknya tidak mengetahui hal berkenaan kerana ia di bawah kuasa Lembaga Disiplin.

“Saya tidak tahu sama ada dia dah bagi surat atau belum (jawab surat tunjuk sebab), yang saya tunggu dari Zuraida ialah satu surat saman yang diberikan kepadanya, itu sahaja,” katanya.

Pada 18 Januari lalu, media melaporkan Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

 



Comments
Loading...