Kuatnya DAP dalam kerajaan bukan kepalang
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY
SEMALAM pemimpin DAP Nga Kor Ming dipetik Malaysiakini memberi ancaman pada kerajaan bahawa DAP akan meninggalkan kerajaan PH kiranya gagal mengiktiraf sijil UEC.
Sejurus kemudian Nga mengeluarkan penjelasan kononnya kenyataannya disalah tafsir. Tetapi ancaman itu cukup untuk menggigilkan sesetengah pihak.
Rakyat Malaysia khususnya umat Melayu Islam perlu sedar pasca PRU14 DAP telah muncul sebagai kuasa politik yang kuat.
DAP dominan dan berkuasa menentukan jatuh atau bangun kerajaan PH di Putrajaya termasuklah 5 negeri lain.
Umpamanya jika ancaman Nga itu benar dan DAP bertindak tinggalkan kerajaan PH, tahukah anda kerajaan PH akan roboh kerana DAP memegang 42 kerusi dari 139 kerusi PH termasuk yang pro PH.
139 kerusi Kerajaan PH Pusat diwakili:
PKR – 50
Bersatu – 26
PAN – 11
Warisan – 9
UPKO – 1
dengan DAP punya 42 kerusi.
Dewan Rakyat punya 222 kerusi. Majoriti mudah membentuk kerajaan bersamaan 112 kerusi dan PH punya 139.
Ini bermakna jika DAP tinggalkan kerajaan PH gabungan itu cuma tinggal 97 kerusi dan kerajaan PH tidak boleh bertahan.
Demikianlah teguhnya kedudukan DAP dalam kerajaan yang sudah pasti seakan memberikan mereka ‘lesen besar’ membuat tuntutan dalam kerajaan dan mengancam PH agar ikut telunjuk dan kehendak mereka.
Mereka pula punya rakan setia PAN yang sentiasa akur dan tunduk pada DAP dan tidak pernah menentang.
Malah selain Putrajaya DAP juga penentu di 5 buah kerajaan negeri lain iaitu Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Walau MB dan Ketua Menteri Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berketurunan Melayu tetapi DAP parti dominan di negeri-negeri ini dan jika mereka bertindak keluar kerajaan kesemua negeri-negeri ini hilang kerajaannya.
Kerana itu ancaman DAP sesungguhnya amaran besar buat PH. Ramai goyang dan gerun jika DAP mengancam dan mengaum.
Itulah nasib kita sejak kaduk naik junjung dan kuasa politik Melayu yang berpecah-pecah tidak lagi penentu.