‘DAP keluar PH’ itu pandangan peribadi Nga – Presiden Amanah
(Malaysiakini) – Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming sebagai pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi parti itu.
Katanya, PH juga akan berbincang mengenai kenyataan Nga semalam yang dilaporkan berkata DAP akan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan jika Putrajaya enggan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“Itu kita (PH) akan bincang. Itu pandangan peribadi beliau.
“Bukan pendirian kolektif DAP. Bagi kita pandangan peribadi sesiapa pun boleh keluarkan,” kata Mohamad ketika ditanya pemberita pada suatu majlis anjuran Amanah di Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu yang ditubuhkan Kementerian Pendidikan tidak dapat mengemukakan laporan mereka disebabkan ketiadaan menteri berkaitan walaupun laporan itu telah disiapkan.
Pengerusinya, penulis Eddin Khoo berkata, pasukan petugas itu akan menyerahkan laporan akhir secara peribadi selepas menteri pendidikan baru diumumkan.
Isu pengiktirafan sijil UEC sebagai syarat masuk ke universiti awam menjadi topik yang diperdebatkan.
Ketika kempen PRU14, kedua-dua manifesto BN dan PH berjanji untuk mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.
Selepas pilihan raya umum 2018, negeri Melaka yang dikuasai PH mengumumkan pada bulan Julai akan melaksanakan pengambilan lulusan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri.
Sementara itu, kerajaan negeri Sabah pada September 2019 mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.
Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).