Armada buat laporan polis berhubung kumpulan serang Syed Saddiq


(Astro Awani) – Satu laporan polis dibuat hari ini susulan serangan yang dilakukan sekumpulan individu pada majlis rapat umum Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor pada Sabtu.

Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya juga bersedia memberi kerjasama penuh terhadap pasukan polis untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kumpulan terbabit.

“Kami telah membuat laporan polis mengenai perkara ini. Kami juga mempunyai rakaman video wajah-wajah mereka yang terlibat untuk dijadikan sebagai bahan bukti.

“Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan,” tulisnya dalam status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq memberitahu, Armada mengutuk perbuatan kumpulan terbabit yang disifatkan sangat kotor, jahat dan tidak demokratik.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan itu menerusi status di akaun Instagramnya memberitahu, beliau terpaksa lari, menggunakan jalan tikus dan lompat pagar seperti orang yang bersalah gara-gara diserang 200 individu yang berlagak seperti gangster di Ulu Tiram, Johor.

 



Comments
Loading...