‘Kerjasama’ dengan Mahathir: Lokman dakwa Zahid lemah, tiada jati diri


(FMT) – Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam berkata, beliau malu mempunyai Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti yang didakwanya lemah dan tidak mempunyai jati diri kerana memberi alasan terpaksa bekerjasama dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mendakwa PAS mengambil jalan serupa.

Lokman berkata, Zahid hari ini hadir ke mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional Umno yang dipengerusikan Tajuddin Abdul Rahman dan memberikan 4 sebab utama kenapa Umno perlu bekerjasama dengan Mahathir.

Menurutnya, antara sebab diberikan Zahid ialah Umno perlu mengikut tindakan PAS bekerjasama dengan Mahathir supaya tidak ketinggalan, selain ia merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan masalah dihadapi bekas presiden parti itu Najib Razak dan supaya Umno tidak diharamkan.

Lokman turut mendedahkan rakaman audio berdurasi 3 minit 14 saat, yang memaparkan rakaman suara Zahid dipercayai sedang mempengerusikan mesyuarat.

“Kita boleh belajar dan berkerjasama dengan PAS dalam soal mendaulahkan Islam. Namun adalah tidak masuk akal Umno perlu mengikut PAS menyokong seorang diktator zalim dan meninggalkan bekas presiden Umno yang sedang dianiaya oleh Mahathir.

“Selepas gunakan nama presiden PAS untuk menghalalkan tindakannya berunding dengan Mahathir, sekarang guna nama ‘bossku’.

“Perundingan dengan Mahathir hanyalah untuk menyelamatkan dirinya daripada 87 pertuduhan dan kembali dalam Kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, merujuk kepada gelaran popular “Bossku” bagi bekas perdana menteri itu di media sosial.

Lokman mendakwa, 33 pertuduhan yang dihadapi Zahid ketika ini sudah mendapat “tawaran pendakwaan pilihan” dengan hukuman lebih rendah, iaitu daripada pertuduhan yang boleh membawa hukuman denda atau penjara 20 tahun bagi setiap pertuduhan, kini tinggal denda atau maksimum penjara 2 tahun sahaja.

“’Bossku’ tidak pernah lantik Ahmad Zahid menjadi perunding dalam menyelesaikan kes mahkamahnya. Malah, ‘bossku’ meminta Umno tidak melibatkan diri dengan kesnya kerana yakin beliau berada di pihak benar dan mampu membuktikannya di mahkamah,” katanya.

Lokman berkata, adakah kerana Umno mahu diharamkan dan akaun parti dibekukan, maka penyelesaian yang mampu diambil oleh Zahid hanya tunduk dan bekerjasama dengan Mahathir?

Beliau berkata, jika itu sahaja yang mampu dilakukan oleh Zahid, maka sewajarnya bekas timbalan perdana menteri itu meletakkan jawatan.

“Sekiranya Umno diharamkan supaya boleh menghalalkan tindakan penyokong Hishammuddin Hussein dan Ahmad Zahid menyertai Mahathir, maka saya yakin lebih 90% ahli Umno akan ikut Najib dalam mengambil alih mana-mana parti lain.

“Jangan harap ahli di bawah ikut manusia bernama Mahathir atau mana-mana manusia yang boleh diperalat atau dikudakan Mahathir.

“Umno perlu pemimpin yang bersedia untuk melawan bagi membela nasib rakyat, bukan mereka yang sanggup berkompromi dengan penguasa,” katanya.

Lokman berkata, sebarang usaha mewujudkan kerajaan “pintu belakang”, menerusi gabungan dengan mana-mana parti sebelum pilihan raya umum ke-15 wajib mendapat kelulusan akar umbi melalui Perhimpunan Agung Khas.

“Tindakan Zahid ini jelas melanggar disiplin parti dan mengetepikan suara akar umbi Umno,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, setiausaha agung PAS Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan semalam berkata, sebagai parti yang mempunyai 18 ahli Parlimen, PAS berhak membuat pendirian menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal dan pada masa sama menolak usaha individu tertentu yang berhasrat menjadi perdana menteri ke-8 dalam penggal ini.

Beliau menjawab kenyataan setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sebelum itu yang bertajuk “PAS sokong Dr M selepas kleptokrat kesayangan hilang kuasa”.

 



Comments
Loading...