Najib sumpah laknat dalam mahkamah


(Malaysiakini) – Najib Razak bersumpah ketika memberi keterangan untuk menunjukkan beliau tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

“Sebagai seorang Islam, wallahi, wabillahi, watallahi, saya tidak pernah meminta suapan dan saya tidak tahu bahawa RM42 juta disalurkan ke akaun saya pada masa itu,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Najib menegaskan terdapat keterangan lisan dan bertulis di mahkamah bahawa tidak terdapat tawaran dan tidak disebut mengenai pertemuan berkaitan hal suapan itu.

Beliau berkata, sebarang cubaan untuk melakukan kesalahan tersebut adalah tidak masuk akal dan sesuatu yang bodoh.

“Ia tidak pernah berlaku, dan untuk mencadangkan bahawa sebagai perdana menteri saya terlibat dalam sesuatu seperti itu adalah tidak munasabah.

“Dan saya katakan, saya tidak begitu bodoh untuk meminta suapan seperti itu dan yang boleh dikesan,” kata anggota parlimen Pekan.

Najib semalam dilapor telah melafazkan sumpah sama semasa pemeriksaan balas peguam bela Farhan Read.

Farhan meminta Najib memperjelaskan penafiannya bahawa beliau mengarahkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) SRC International CEO Nik Faisal Ariff Kamil untuk memindahkan RM42 juta ke dalam akaunnya.

Najib berdepan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Najib sebelum ini pernah melafazkan sumpah sama bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

 



Comments
Loading...