Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 3)
Tongkat Waran
Mahathir sedar kedudukan beliau kali kedua sebagai Perdana Menteri tidak seteguh ketika kali pertama menyandang jawatan itu. Beliau hanya bersandar kepada Ketua Polis Negara (Abdul Hamid Bador) dan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Latheefa Koya) tetapi belum menyakini Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat yang sukar dibaca dan belum teruji, Ketua Setiausaha Negara, Dato Seri Mohd. Zuki Ali pula masih baharu manakala Tommy Thomas tidak diletakkan harapan sama sekali.
Ini berbeza pada 1998 misalnya, Mahathir mempunyai cengkaman sepenuhnya ke atas badan kehakiman, legislatif, pejabat Peguam Negara dan Polis. Pada waktu itu Peguam Negara (Mohtar Abdullah), Ketua Polis Negara (Rahim Noor) dan Ketua Hakim Negara ( Eusoff Chin) di bawah telunjuk beliau.
Bukan itu sahaja, parti politik pimpinannya, PPBM mempunyai kerusi Parlimen yang kecil iaitu 16 kerusi (meliputi empat MP BN lompat parti) berbanding PKR 50 kerusi dan DAP 42 kerusi serta Amanah 10 kerusi. Bahkan, Kabinetnya tidak segagah seperti era PM Ke-4 dengan dibarisi ramai tokoh yang setia dan digeruni antaranya Megat Junid Megat Ayob, Daim Zainuddin, Sanusi Junid, Mohamed Rahmat dan Rafidah Aziz serta para pembantu seperti Setiausaha Politik, Aziz Shamsuddin. Sewaktu itu juga, Barisan Nasional (BN) menguasai Kabinet, yang turut memperoleh mandat dua pertiga di Dewan Rakyat.
Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 2)
Sudah tentu tidak sama dengan barisan Kabinet sekarang yang merangkumi beberapa parti iaitu PKR, DAP, PPBM dan Amanah, yang masih mencari keserasian. Apatah lagi para pemimpin PPBM diterajui beliau pernah mempunyai sejarah permusuhan politik dengan pemimpin DAP, PKR dan Amanah.
Mahathir kerap mengeluh kepada pemimpin PPBM tentang beliau tidak mempercayai barisan Kabinetnya termasuk timbalan Dr Wan Azizah Wan Ismail. Paling dibenci Mahathir adalah menteri DAP terutama Menteri Kewangan Lim Guan Eng tetapi beliau terpaksa bermain sandiwara kerana tangannya terikat dan tiada pilihan.
Walaupun Wan Azizah sebagai timbalannya, Mahathir tidak menghormati beliau sewajarnya malah jarang mahu berbual serta banyak berahsia. Pada masa yang sama, majoriti anggota Kabinet itu sendiri tidak mempercayai Mahathir.
Meskipun Perdana Menteri sedar peluang beliau untuk menjayakan agendanya itu untuk terus berkuasa sehingga tamat penggal, bukan mudah namun beliau sudah nekad.
“Tun tahu Anwar semakin dekat ke jawatan Perdana Menteri dengan sokongan majoriti PKR, DAP dan Amanah tetapi tunggulah saatnya nanti..,” kata seorang penasihat beliau yang optimis dengan pelan Mahathir.
Bagaimanapun seorang pemimpin PPBM mahu bersikap realistik sambil melihat gerakan Mahathir tidak akan berhasil menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.
Agak mengejutkan apabila beliau memberitahu bahawa terdapat beberapa orang kanan Perdana Menteri sudah seperti bersedia untuk lari daripada kem Mahathir. Lebih memburukkan keadaan berlakunya pergolakan dalam PPBM dan rasa tidak puas hati kerana Mahathir begitu berkuasa dalam parti dan mahu mengangkat anaknya Timbalan Presiden, Mukhriz sebagai Presiden parti menggantikan Muhyiddin Yassin di samping mahu melantiknya ke jawatan Menteri Pendidikan.
Isunya bukan sahaja kronisme dalam pendakian jawatan parti bahkan dalam soal peluang bisnes dan kontrak masih lagi menguntungkan anak-anak dan keluarga Mahathir khususnya Mokhzani dan Mirzan. Kedua-duanya memperolehi banyak kontrak dan bisnes secara pintu belakang atas nama usahawan lain sebagai proksi.
Peranan anaknya terutama Mokhzani dalam mencatur projek dan kontrak besar mahupun membantu gerakan politik bapanya adalah begitu signifikan. Beberapa ahli perniagaan yang rapat dengan Mahathir mengakui Mokhzani begitu berpengaruh dalam mendapatkan projek dan kontrak besar, selain penasihat ekonomi Tun Daim Zainuddin.
Menurut seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Mahathir lebih mendengar kata-kata dan maklumat daripada anaknya terutama Mokhzani berbanding pimpinan parti. Itu belum menyentuh keputusan besar seperti cadangan pengambilalihan lebuhraya PLUS dan MAS, yang Mokhzani turut menjadi pengantara. Mahathir seperti bersetuju dengan Mokhzani untuk menjual PLUS kepada kroni mereka, Maju Holding tetapi mujur Kabinet mengekalkan status sedia ada.
Sebenarnya itu peluang bagi keluarga Mahathir memperolehi keuntungan atas angin selain membantu menambah dana untuk PPBM. Mokhzani juga dengan peranan Rafidah Aziz (Pengerusi Air Asia X ) sedang melobi untuk menjual MAS kepada Air Asia, yang bosnya Tony Fernandes yakin akan berjaya. Terbaru gabungan Naza-Berjaya diberi kontrak RM300 juta setahun untuk menyelenggara kereta kerajaan bagi tempoh 15 tahun akan datang.
Semua orang tahu bahawa pemilik Berjaya Vincent Tan adalah kroni besar Mahathir sejak dulu. Anak perempuan Vincent Tan pula berkahwin dengan salah seorang pemilik Naza. Ini bermakna syarikat Vincent dan syarikat menantunya dapat meraih kontrak besar dengan tempoh yang begitu lama.
Mahathir tidak pernah mengambil iktibar ke atas segala kritikan dan kemarahan rakyat kepada beliau semasa menjadi Perdana Menteri Ke-4. Beliau sendiri digelar bapa perompak dan bapa lanun oleh ramai musuh politiknya sebelum ini kerana mengaut banyak kekayaan untuk anak-anak dan kroni, yang beliau mempunyai kepentingan di belakangnya.
AKAN DISAMBUNG ESOK