Kita Dipelawa Dan Mempertimbangkan, Bukan Menawarkan Diri


Barang kali ramai yang keluh-kesah mengenai ura-ura Barisan Nasional/UMNO dan Pas akan menyertai blok kerajaan. Polemik dan konflik mula merebak ke bawah akibat tindakan terburu-buru seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menyerang Presiden UMNO.

Tuduhan-tuduhan yang dibuat seperti Presiden bekerjasama dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk menyelamatkan diri dari kes mahkamah sangat biadap dan tidak berhati perut.

Pertamanya, Presiden tiada kuasa mutlak untuk memutuskan apa-apa kerjasama politik. Ia harus keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO.

Keduanya, UMNO tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai kerajaan.

Apa yang berlaku sekarang ialah ada cadangan dari pihak lain untuk UMNO/BN dan PAS menyertai satu bentuk kerajaan baharu bersama parti-parti lain kecuali DAP dan PKR.

Mengapa Cadangan Kerajaan Baharu ini timbul?

Saya fikir cadangan ini timbul kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir enggan menyerah kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didokong kuat oleh DAP.

Khabarnya Tun Mahathir juga sudah muak dengan permainan DAP dan Hindraf yang cuba mengurangkan keberadaan karekter Islam dan Melayu dalam kerajaan.

Bagi pihak UMNO dan Pas kita merasakan kerajaan PH sudah terlalu jauh dari kepentingan Islam dan Melayu.

Keputusan-keputusan kerajaan yang dibuat membabitkan kepentingan Islam kelihatan dipengaruhi unsur liberal dan luar pemikiran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Seolah-olah ada kumpulan ketiga yang sedang meruntuhkan batas-batas Islam yang terjaga sebelum ini.

Kerajaan juga telah mengurangkan bantuan-bantuan kebajikan rakyat miskin dengan banyaknya yang menjejaskan kualiti hidup nelayan, petani dan pekebun kecil.

Justeru apabila ada tawaran atau perundingan bagi membentuk kerajaan yang dapat menjaga kebajikan dan kepentingan Islam, Melayu dan rakyat bawahan, UMNO perlu mempertimbangkan dengan teliti.

Kita tidak mahu dituduh menolak peluang memulihkan negara ini dan membantu rakyat di bawah.

Jika ego dan kepentingan diri yang menjadi pertaruhan lebih baik kita menunggu pilihan raya. Dalam pilihan raya umum lebih banyak tempat untuk wakil UMNO dan lebih banyak ruang menjadi wakil rakyat.

Namun pertimbangan ini harus yang terakhir bukan yang pertama. Yang pertama ialah perjuangan memulihkan negara ini.

UMNO Khianat Muafakat Nasional?

Apa-apa keputusan menyertai kerajaan atau tidak akan turut dibuat bersama Pas.

Pas sendiri telah beberapa kali berjumpa dengan Tun Mahathir, dan mereka tidak pernah melahirkan apa-apa bantahan mengenai kemungkinan sebarang perbincangan pihak UMNO dengan Mahathir.

Justeru tuduhan UMNO telah khianat Pas adalah tidak benar sama sekali. Malah UMNO dan Pas sentiasa berkomunikasi untuk memastikan kepentingan ummah terjaga dalam keadaan negara di kuasai oleh puak liberalis, DAP dan Hindraf.

Apa Jaminan Tun Mahathir Tidak Mempermainkan Kita?

Tiada jaminan! Tun Mahathir dan mana-mana parti politik adalah manusia yang sentiasa berubah mengikut keperluan dan kepentingan tertentu.

Namun jika kita buat keputusan menerima pelawaan ini, kita juga ada kuasa meninggalkan kerajaan ini jika tidak mampu membuat perubahan atau bila Tun Mahathir mungkir janji.

Misalnya, apabila kita menyertai kerajaan ini dan mendapati janji perubahan yang hendak dibuat dihalang oleh Perdana Menteri atau mana-mana kelompok, maka UMNO boleh sahaja meninggalkan kerjasama ini dan bergerak secara sendiri kembali.

Sebahagian ahli UMNO mungkin agak emosional memikirkan apa yang telah Tun kata kepada kita.

Namun saya percaya majoriti orang Melayu/Islam mahu melihat kerajaan ini kembali dikuasai oleh kumpulan yang boleh dipercayai mereka.

Majoriti orang Melayu melihat kepentingan agama dan bangsa lebih penting dari pertelingkahan antara proksi dan puak.

Dan UMNO tidak mahu dituduh pengkhianat agenda Islam dan Melayu kerana sebuah ego.

UMNO tidak terkejar jawatan, namun UMNO juga tidak mahu dipersalahkan jika kedudukan agama dan bangsa terjejas ketika ada peluang membuat perubahan segera.

Apa pun biarlah MT UMNO berbincang dan mendengar dengan teliti pelawaan yang dikemukakan. In Sha Allah kita akan turun ke bawah menjelaskan apa sahaaj keputusan yang dbuat.

Serangan-serangan terbuka berbentuk kecaman, tuduhan dan fitnah ke atas kepimpinan parti oleh ahli MT adalah bertujuan merosakkan parti ini.

Mengapa perlu diserang kepimpinan parti jika ada peluang bercakap dalam mesyuarat dan sama-sama berada dalam saf kepimpinan yang bakal membuat keputusan?

Ahli MT harus memikirkan kepentingan perjuangan parti melebihi kepentingan mana-mana pemimpin atau puak demi keuntungan peribadi.

Dato Razlan Rafii
Ahli MKT UMNO

 



Comments
Loading...