Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 4)
Tongkat Waran
Kepentingan bisnes dan kekayaan adalah antara faktor mengapa Mokhzani, Mirzan, Mukhriz bahkan Tun Dr Siti Hasmah Ali adalah antara mereka yang tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Mereka percaya Anwar masih menyimpan dendam dengan Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun sudah menjadi sekutu politik. Begitu juga dengan Tun Daim Zainuddin, Rais Yatim, Rafidah Aziz, Syed Hamid Albar, Hamzah Zainuddin, Kadir Jasin, Khairuddin Abu Hassan dan Zahid Md Arip yang tidak mahu bos mereka menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Apa pun perkembangan, Mahathir sentiasa mendapatkan maklumat terkini dan menajamkan analisisnya supaya strategi beliau berkesan. Atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri, beliau sudah tentu menggunakan sepenuhnya khidmat Cawangan Khas (Special Branch) Polis Diraja Malaysia. Lebih-lebih lagi Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, orang Mahathir yang juga mahu menghalang penyerahan kuasa itu kepada Anwar.
Dengan kata lain, masa untuk checkmate Anwar akan bermula sedikit masa lagi. Mengikut perancangan, Mahathir akan memberi kata dua kepada Anwar agar akur untuk membenarkan beliau meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal ini.
Sekiranya Anwar enggan maka tindakan-tindakan yang telah dirancang itu akan dilaksanakan supaya akhirnya Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan yang menyokongnya tiada pilihan sama sekali dan terpaksa tunduk.
Kisah Tun Dr Mahathir, Anwar dan Sodomi 4 (Bahagian 3)
Bagaimana dengan tindak balas Anwar? Presiden PKR itu khabarnya sudah dapat membaca dan meramalkan langkah-langkah yang diambil oleh Mahathir. Malah beliau sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan situasi yang lebih buruk menimpanya.
Menurut seorang sahabat Anwar, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak akan berganjak dengan perjanjian peralihan kuasa. Sekiranya Mahathir tetap berdegil untuk tidak menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Anwar akan membawa PKR, DAP dan Amanah menarik diri daripada kerajaan Pakatan Harapan. Beliau juga bersedia sekiranya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, dan segelintir pemimpin dan Ahli Parlimen PKR, tidak menyertai tindakan tersebut dengan berpaling tadah menyokong Mahathir.
Hakikatnya Anwar mempunyai sokongan terbesar dalam PKR, begitu juga dalam DAP dan Amanah, yang gandingan Mahathir, PPBM dan kelompok Azmin tidak mampu sainginya. Di luar PH, Anwar mendapat sokongan parti parti politik Sarawak dan Sabah, yang lebih selesa dan yakin dengan beliau berbanding Mahathir.
Anwar juga berpotensi besar untuk menarik sokongan lebih besar orang Islam dan Melayu menerusi formula politiknya tersendiri. Sebagai pemimpin berpengalaman, Anwar sedar tanpa sokongan majoriti Islam dan Melayu laluannya pasti sukar. Kegagalan untuk memenangi hati orang Melayu dan bumiputera bermakna beliau menempah maut politiknya sendiri.
Kekalahan PH dalam lima PRK dan gelombong kemarahan serta keresahan orang Melayu termasuk menerusi media sosial, adalah isyarat yang sangat kuat. Persepsi mudah berubah. Tanggapan bahawa beliau hanya mendapat sokongan bukan Melayu hanyalah mainan strategi untuk menakut-nakutkan orang Melayu terhadap Anwar. Dengan pendekatannya yang tidak kaku, jangan terkejut selepas ini bahawa Anwar akan menjadi juara dalam menjaga kepentingan Islam dan bumiputera.
Yang penting adalah cara yang lebih bijak agar memberi impak sambil dapat memelihara kepentingan semua kaum dan negara. Ruang untuk Anwar bekerjasama dengan parti-parti seperti PAS dan UMNO juga terbentang luas. Ramai pemimpin UMNO dalam diam menjalin hubungan dan kerjasama belakang tabir dengan Anwar. Paling lantang adalah bekas Menteri, Nazri Aziz, yang telah membuat perisytiharan terbuka dan dijangka melakukannya sekali lagi dalam masa terdekat. Begitu juga dalam Pas.
Sekiranya Anwar membawa PKR, DAP dan Amanah meninggalkan kerajaan, kerajaan pimpinan Mahathir pasti tumbang.
Apakah langkah yang boleh dijangka daripada Perdana Menteri? Sudah terdengar desas-desus daripada Polis Cawangan Khas bahawa Mahathir akan mengisytiharkan darurat dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara untuk kekal mempunyai kuasa eksekutif dalam pentadbiran negara.
Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk berbuat demikian tanpa perlu mendapat perkenan daripada Yang diPertuan Agong. Ini ekoran pindaan undang-undang mengenainya yang telah dilakukan pada era Najib. Ia merupakan antara kesilapan besar Najib yang mendedahkan rakyat dan negara kepada mudarat besar dan menamatkan amalan demokrasi.
Apa pun, Mahathir sudah bersedia untuk kembali menjadi sang diktator yang akan membaham sesiapa sahaja demi kuasa dan survival politiknya. Episod ini akan sampai penamatnya nanti – hanya salah seorang daripada mereka akan berada di puncak kuasa.
Berjayakah Mahathir atau terselamatkah Anwar kali ini?
TAMAT