Usul Percaya VS Usul Tidak Percaya
Izwan Abdul Halim, Harakah
Ada pihak yang keterlaluan menganggap PAS seperti buang tabiat kerana melakukan perkara ‘tidak pernah dibuat orang’, namun realitinya Usul Percaya pernah dikemukakan ke Parlimen.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ada pihak yang tertanya-tanya keperluan PAS mengemukakan Usul Percaya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Parlimen.
“Realitinya, Usul Percaya kepada Perdana Menteri pernah ada precedentnya di Dewan Rakyat iaitu pada tahun 1976 oleh Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn dan ia tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara.
“Saya masih ingat, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pernah memberi pandangan beliau berkait perkara ini pada tahun 2015 bahawa, “Usul undi percaya adalah sesuatu yang unik dalam sistem Parlimen. Hal ini kerana Perlembagaan ada sebut tentang Undi Tak Percaya, tapi tak sebut tentang Undi Percaya.”
“(Katanya) “Namun usul Undi Percaya tidak bertentangan dengan Perlembagaan. Semua bentuk cadangan perlu mengikut proses membentangkan usul, jadi jika usul Undi Percaya hendak dibawa, ia hendaklah mengikut prosedur Parlimen”,” petik beliau.
Usul Undi Tidak Percaya pula ujarnya, kerap didengari, malah mutakhir ini makin kerap berlegar dibibir ahli politik di galeri Parlimen, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan kecuali pernah berlaku di DUN.
Terang beliau, sejarah Undi Tidak Percaya tersebut melibatkan Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966 dan Menteri Besar Selangor pada tahun 1976 serta Menteri Besar Kelantan pada tahun 1977.
PAS ulangi beliau, memutuskan melalui mesyuaratnya semalam untuk mengemukakan Usul Percaya kepada Tun Dr Mahathir demi mempertegaskan pendirian asal PAS iaitu mahu Tun kekal sebagai Perdana Menteri sehingga ke akhir penggal.
“Pendirian PAS ini adalah kerana mengambil kira soal kepentingan rakyat dan negara. Sementara posisi Perdana Menteri adalah satu posisi yang sangat penting dan signifikan untuk menjamin kestabilan politik, ekonomi dan juga sosial negara.
“Terlebih utama, bagi nilaian PAS mutakhir ini ialah berkait dengan kepentingan Islam dan umatnya jua termasuk kedudukan orang Melayu sebagai Bumiputera.
Usul Percaya ini adalah usaha yang sangat perlu dilakukan sekarang setelah PAS menilai dan membaca dengan teliti perkembangan politik semasa juga menela’ah pergolakan dalaman PH,” jelasnya.
Untuk rekod, usul Undi Percaya pernah dikemukakan di Parlimen pada tahun 1997 terhadap Perdana Menteri Keempat, Dr Mahathir dan juga pada tahun 2003 ke atas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.