Undi Percaya Dan Undi Tidak Percaya
Salleh Said
1. Dalam sistem demokrasi berparlimen, tidak pernah ada parti pembangkang yang membentangkan usul ‘undi percaya’ kepada kerajaan. Yang ada ialah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi tidak percaya,’ khususnya apabila kerajaan gagal melaksanakan kewajibannya, atau memerintah dengan cara yang merugikan negara.
2. Jika parti pembangkang boleh membentangkan usul ‘undi tidak percaya’, bagaimana pula dengan kerajaan? Usul apakah yang boleh mereka lakukan? Bagi kerajaan, biasanya mereka melakukan ‘undi percaya’ apabila menghadapi krisis ketidak yakinan rakyat terhadap dasar belanjawan atau lain-lain dasar mereka. Tujuannya adalah untuk membuktikan dasar pemerintahan mereka mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.
3. Apakah kesannya jika ‘undi percaya’ ini gagal? Di UK, jika kerajaan gagal mendapat undi percaya, mereka memiliki empat pilihan.
4. Pertama, Ratu membubarkan Dewan dan mengadakan pilihan raya umum baharu. Hal ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan. Kedua, kerajaan atau pembangkang membentangkan ‘usul percaya’ di bawah The Fixed-Term Parliament Act (FTPA), namun hal ini belum pernah berlaku. Ketiga, PM meletakkan jawatan. Keempat, kerajaan terus memerintah, namun ini bergantung kepada sama ada parti pembangkang membentangkan usul tidak percaya sekali lagi yang lebih eksplisit.
5. Di Malaysia, bolehkah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi percaya’? Hal ini janggal kerana tidak pernah berlaku. Yang berlaku ialah parti pembangkang membentangkan usul ‘undi tidak percaya’.