Biar Tun M yang tentukan, kata Muhyiddin


(Sinar Harian) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat sebarang keputusan berhubung isu peralihan kuasa yang sering diperkatakan kebelakangan ini.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, soal peralihan kuasa adalah bidang kuasa Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan keputusan tertentu akan dibuat apabila tiba masa yang sesuai.

“Pandangan-pandangan umum tentang perkara itu (peralihan kuasa), biasalah. Kalau tak ada itu bukan politik tapi yang penting hubungan kerjasama kita di dalam PH masih kukuh, masih terjalin.

“Apa pun kita akan serahkan kepada Tun Dr Mahathir untuk mengambil apa-apa langkah wajar berhubung perkara itu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-48 Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari ini akan membincangkan mengenai peralihan kuasa itu atau sebaliknya.

Sementara itu, menurutnya, laporan sebuah akhbar tempatan bahawa kemungkinan berlaku pertukaran kepimpinan di tiga negeri jika kerajaan perpaduan dibentuk adalah ramalan, malah tidak mungkin berlaku dan tidak pernah dibincangkan.

“Saya dalam kerajaan pun tak tahu apa cerita. Kalau baca, setengah orang seronok, setengah orang tak seronok tapi itu semua ramalan sahaja.

“Dari sudut kerajaan dan parti yang ada saya tidak dengar lagi perkara itu dibincang atau akan berlaku seperti disebutkan itu,” katanya.

Semalam, sebuah akhbar tempatan menamakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan Ahmad Faizal yang bakal meninggalkan jawatan masing-masing jika kerajaan perpaduan terbentuk antara UMNO, Pas dan Bersatu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang ditemui semalam berkata, beliau akan meneruskan tugas sebagai Menteri Besar Perak seperti biasa di sebalik khabar angin tersebut.

“Setakat ini saya ada tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar Perak, itu fokus yang perlu dilaksanakan dan selebihnya saya serahkan kepada ALLAH dan kepimpinan,” katanya.

 



Comments
Loading...