Bina KLIA3, tak masuk akal


(Malaysia Gazette) – Hasrat kerajaan kononnya hendak membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 3 (KLIA3) disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ini kerana ketika negara menanggung beban hutang yang begitu besar, kata presiden penaja Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Menurutnya, apa keperluan kerajaan hendak membina KLIA3 di Nilai, Negeri Sembilan sedangkan hutang negara ketika ini mencecah RM1 trilion.

SEE MORE DETAILS HERE

“Telah tular berita mengenai hasrat kerajaan hendak membina KLIA3 di Nilai. Rakyat mesti diberitahu kerana ini akan melibatkan tanggungan berbillion ringgit oleh kerajaan atas apa cara kaedah pelaksanaannya sekalipun.

“Tidakkah kerajaan sekarang sedar hutang negara sudah mencecah RM1 trilion, dan difahamkan enam minggu pertama tahun ini, kerajaan sudah meminjam RM19 bilion. Kalau tidak benar, minta Kementerian Kewangan nafikan,” katanya kepada media hari ini.

KLIA3: How Much Is It Going To Cost And Who Is Going To Benefit?

Semalam tular spekulasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk membina projek KLIA3 di Nilai seperti didakwa oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dipecat, Datuk Lokman Noor Adam.

Ibrahim yang tidak bersetuju dengan hasrat itu berkata, KLIA1 belum maksimun penggunaannya malah tarafnya turun seperti lapangan terbang negara dunia ketiga, selain hilang pendapatan sekitar RM4.4 bilion termasuk kerugian teruk dialami MAHB.

Ini belum diambil kira kerugian MAS sebanyak RM21 bilion dan terkini heboh syarikat penerbangan itu akan dijual atau mencari rakan kongsi.

“Sedih dengar cerita ini, lebih kurang cerita 1MDB juga atau lebih teruk. Bertiup khabar angin pula MAHB akan dijual kepada Gatwick UK? Semua ini memerlukan jawapan MOF dan Kementerian Pengangkutan.

“Hasrat untuk membina KLIA3 bukan dongeng atau fitnah kerana mengikut maklumat, pada Disember lalu sudah ada perbincangan kontraktor Gerbang Prima Angkasa dengan konsultan bagi pakej kerja tanah.

“Difahamkan pakej kerja tanah sahaja bernilai RM1.2 bilion, ini belum masuk kos pembinaan yang pastinya berbilion,” kata beliau.

“Difahamkan pakej kerja tanah sahaja bernilai RM1.2 bilion, ini belum masuk kos pembinaan yang pastinya berbilion,” kata Ibrahim Ali.

Ibrahim menyifatkan apa didengarinya itu sebagai cerita ngeri kepada rakyat dan negara kerana kerajaan sepatutnya mengambil kira hutang negara, perkembangan ekonomi dunia dijangka merudum, harga minyak, lain-lain komoditi tidak stabil dan kos sara hidup rakyat yang masih tertekan.

Beliau juga mahu kerajaan mengutamakan dahulu beban negara tanpa memesong fikiran rakyat dengan pelbagai hujah kononnya sudah dibuat kajian teliti dan sebagainya untuk menghalal pelaksanaan projek KLIA3 bagi Gerbang Angkasa.

Kata beliau, suasana dan keadaan sekarang juga tidak sama dengan tahun 1990-an, di mana rakyat akan menyokong apa juga usaha bagi membangun negara, tetapi berdasarkan keadaan semasa dan keperluannya.

“Tumpukan dahulu supaya lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa singgah di KLIA1 agar memperoleh keuntungan besar, sebelum membina satu lagi lapangan terbang.

“Putra Malaysia mengesa MOF bertindak dan membuat keputusan profesional, bukan atas dasar di luar pertimbangan tidak rasional.

“Kontraktor besar juga ada tanggungjawab sosial kepada rakyat dan negara. Memang kontraktor atau pemaju berhak mencari peluang perniagaan, tapi jangan pula mengambil kesempatan hanya kerana rapat dengan pemimpin tertentu,” katanya.

 

 



Comments
Loading...