Peralihan kuasa: ‘Pelan B’ tonjol sikap terdesak PKR


(ISMAWeb) – Rancangan bekas Bendahari PKR, William Leong (gambar) untuk menggunakan ‘pelan B’ bagi memberi tekanan terhadap isu peralihan kuasa perdana menteri di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menonjolkan sikap terdesak pihak terbabit.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, jika Dr Mahathir tidak menyerahkan jawatan itu seperti yang dijanjikan, maka keadaan berkenaan akan meletakkan pihak satu lagi dalam keadaan terdesak sehingga timbulnya ugutan untuk melaksanakan pelan tersebut.

Melihat konteks politik negara hari ini, beliau berpendapat bahawa Dr Mahathir berkemungkinan tidak akan menyerahkan kerajaan kepada Anwar, dan itu juga kehendak kebanyakan daripada rakyat Malaysia.

“Jadi ugutan (pelan B) yang disebutkan William Leong menunjukkan keadaan terdesak. Mungkin pilihan-pilihan secara diplomasi, persetujuan dalaman dan perundangan telah tiada atau menemu jalan buntuk untuk penyelesaian dalam secara dalaman.

“Kalau itulah yang akan berlaku, ia satu berita baik kepada mereka yang ingin Tun M kekal sebagai PM. Ini kerana ia memberi isyarat mereka tidak lagi memiliki cara yang meyakinkan bagaimana peralihan kuasa ini boleh berlaku seperti dijanjikan,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama wakil pertubuhan antarabangsa, The Global Coalition For Quds di sini, hari ini.

Abdullah Zaik diminta mengulas laporan media memetik William yang menyatakan, kini masa untuk menggunakan ‘pelan B’ bagi memastikan Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

“Ini masa untuk pelan B dikeluarkan, suara rakyat itu penting, kita nakkan pandangan awam, ia adalah tekanan pandangan untuk kerajaan kembali kepada landasan.

“Kita sudah turun ke jalan raya sebelum ini, bukan saya mahu suruh mereka turun, tapi kita mahukan semangat,” katanya.

 



Comments
Loading...