Interpol sudah keluar notis merah tangkap Jho Low, kata KPN


(FMT) – Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan Interpol sudah mengeluarkan notis merah ke atas Low Taek Jho dan beliau menasihatkan ahli perniagaan itu pulang ke tanah air bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di China.

“Sebelum ini dia disahkan bersembunyi di Wuhan ikut risikan antarabangsa, tetapi tidak ada maklumat terbaru sama ada dia larikan diri dari situ ekoran penularan Covid-19.

“Kalau dia datang ke Malaysia, Kementerian Kesihatan akan berikan rawatan terbaik untuk dia kerana kita terbukti terbaik apabila berjaya menyembuhkan 9 pesakit positif Covid-19 setakat ini,” katanya berseloroh selepas menghadiri Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis hari ini.

Angka kematian di bandar Wuhan, wilayah Hubei yang paling teruk terjejas akibat Covid-19 meningkat kepada 2,005 orang hari ini dengan 74,185 kes disahkan.

Hamid berkata, notis merah untuk mengesan dan menahan Jho Low itu tidak boleh didedahkan kepada umum sewenang-wenangnya kerana membabitkan isu protokol.

“Pihak yang kata tidak ada notis merah dan sebagainya, sila datang jumpa saya di pejabat ya.

“Ada 2 kategori notis merah, iaitu boleh dikongsi bersama awam dan satu lagi hanya dihadkan kepada penguat kuasa. Yang dikeluarkan (ke atas Jho Low itu) untuk agensi penguatkuasaan saja.”

Sebelum ini, bekas ketua polis negara, Musa Hassan dipetik Berita Harian sebagai berkata, Interpol sepatutnya sudah menyenaraikan nama Jho Low sebagai individu dikehendaki menerusi laman webnya, selepas menerima permohonan Malaysia.

Beliau berkata, kebiasaannya proses permohonan itu tidak mengambil masa lama dan ia akan dilakukan secepat mungkin bagi membantu serta melengkapkan siasatan kes.

 



Comments
Loading...