Pemuda Amanah WP gesa Majlis Presiden PH putus tarikh peralihan kuasa


(FMT) – Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan mahu Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan tarikh dan pelan peralihan kuasa dengan jelas antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Ketuanya, Asmaaliff Abdul Adam berkata desakan itu dibuat susulan Mesyuarat Majlis Presiden PH akan berlangsung malam ini.

“Berterusan membiarkan isu pelan peralihan kuasa akan menyebabkan ketidakstabilan dalam kerajaan, di mana pembangkang akan terus menggunakan isu ini yang seterusnya menghilangkan fokus kerajaan PH untuk membawa negara ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, Asmaaliff berkata ia bagi memastikan kestabilan dalam kalangan komponen parti PH.

“Satu pelan peralihan kuasa yang jelas dapat menenangkan ahli-ahli dalam parti komponen PH daripada terus bercakaran dan saling menyerang, seterusnya mengutuhkan lagi gabungan ini,” katanya.

Terdahulu, FMT melaporkan pimpinan tertinggi PH dilaporkan mungkin membincangkan rombakan Kabinet dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dijadualkan berlangsung malam ini.

Menurut 2 pemimpin gabungan itu yang enggan dinamakan, mesyuarat itu ialah permulaan kepada sesi Majlis Presiden PH yang akan dihadiri Mahathir, Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Preside PPBM, Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Katanya, mesyuarat itu mungkin membincangkan pelan peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar, jika ada hadirin yang membangkitkan isu berkenaan yang tiada dalam agenda mesyuarat terbabit.

Seorang lagi sumber berkata, Mahathir mungkin menangguhkan perbincangan peralihan kuasa ke tarikh lain.

Kedua-dua sumber itu berkata, Mahathir yang mencadangkan mesyuarat itu diadakan dan ia mungkin kerana beliau merasakan ada keperluan memperkukuhkan Kabinetnya dan memaklumkan pemimpin lain mengenai rancangannya.

Topik rombakan Kabinet timbul sejak beberapa bulan lalu dan spekulasi mengenainya sering diperkatakan sejak 2 Jan lalu apabila Maszlee Malik meletak jawatan sebagai menteri pendidikan.

 



Comments
Loading...