Tun M setuju teruskan ijazah perguruan untuk lepasan UEC


(Ismaweb) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah bersetuju untuk meneruskan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama UEC (PISMP-UEC).

Memetik laporan portal China Press, kelulusan daripada Dr Mahathir itu disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching semalam.

Merujuk portal berbahasa Cina itu, Nie Ching dilaporkan berkata, PISMP-UEC adalah satu-satunya cara untuk lepasan sijil berkenaan masuk ke dalam sektor kerajaaan.

Namun katanya, KPM bukan sahaja meneruskan program ijazah perguruan untuk UEC, bahkan juga kepada lepasan persejilan agama, seperti Sijil Menengah Agama dan Sijil Menengah Ugama.

Sebelum ini, manual pengambilan pelajar oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak menyenaraikan butiran mengenai pengambilan lepasan UEC untuk program ijazah perguruan, menyebabkan pertubuhan pendidikan dan parti politik berasaskan Cina tertanya-tanya sama ada kerajaan telah menghentikan program berkenaan.

Perkara itu turut mendapat reaksi parti perkauman MCA yang menggesa Nie Ching menjustifikasikan alasan kerajaan kerana dilihat tidak lagi membuka pengambilan untuk PISMP-UEC bagi tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Belia Negara MCA, Ng Sing Phing turut mendesak pemimpin DAP itu menyatakan pendiriannya sama ada sehaluan atau tidak bersetuju dengan pendekatan semasa yang diambil kerajaan dalam perkara itu.

Sijil UEC tiada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan serta Akta Pendidikan 1996.

 



Comments
Loading...