Najib Razak sokong pembentukan koalisi politik baharu


(The Malaya Post) – Panas kedengaran percaturan politik sedang rancak berlaku di Putrajaya secara diam dan tersusun.

Terbaharu, khabarnya penyatuan politik baharu bakal menyaksikan gabungan parti besar dalam negara antaranya BERSATU, UMNO, PAS, GPS, beberapa kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan WARISAN.

Dengan gabungan baharu ini, secara automatik DAP, PKR dan PAN akan terkeluar dari gabungan pembentukan kerajaan.

Lebih tepat Malaysia Baharu melalui gabungan Pakatan Harapan (PH) terbubar.

Dilaporkan kebarangkalian akan berlaku pertukaran kerajaan dalam waktu terdekat yang diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui gabungan baharu bersama blok pembangkang.

Menurut sumber, tiga minggu lalu kedudukan kecenderungan sokongan ahli parlimen di antara sokongan pada Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sama kuat.

Namun masing-masing tidak mempunyai sokongan yang mencukupi kerana GPS dan sebilangan ahli Parlimen UMNO tidak menyokong.

Atas sebab itu, gerakan menyokong mengekalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga PRU ke-15 melalui tandatangan akuan berkanun (SD) giat dilakukan.

Khabarnya, gerakan ini hanya berjaya apabila kedudukan sokongan ahli parlimen parti pembangkang bersetuju menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad termasuk Dato’ Seri Mohd Najib Razak dan pengikutnya yang turut menandatangani akuan berkanun (SD) bersyarat.

Perkara ini di sahkan sendiri oleh Dato’ Seri Najib Razak ketika dihubungi wartawan The Malaya Post sebentar tadi.

“Ya, saya sudah tandatangan, namun bersyarat” kata Najib Razak

Benarlah kata pepatah tentang politik, “tidak ada musuh yang abadi, tidak punya teman sejati, yang berbaki adalah harapan dan mungkin juga kepentingan yang menjadi pelengkap politik berjaya.

Namun kesepakatan ini dilakukan demi kepentingan negara dan bangsa, diharap pucuk pimpinan dapat meleraikan kekusutan dan membuat keputusan terbaik demi kesejahteraan hidup rakyat.

 



Comments
Loading...