Hanya tinggal Dr M selepas 48 jam


Dalam 48 jam lepas, nasib Mahathir berubah daripada status seorang PM yang perlu diganti dengan Anwar pada 2020, kepada seorang ahli Parlimen bebas yang pertama mendapat sokongan hampir semua parti politik untuk menjadi PM Malaysia.

Timmy Say, Free Malaysia Today

Selepas 48 jam sejak gempa bumi politik yang bermula pada Ahad lepas, dalam kerajaan Pakatan Harapan hanya tinggal Dr Mahathir Mohamad yang masih mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri.

Kini, kedudukan beliau berubah daripada perdana menteri interim PH kepada perdana menteri interim yang dilantik Agong apabila perletakkan jawatannya diterima Agong.

Tindakan Mahathir meletakkan jawatan berkait dengan 2 isu, iaitu berpecahnya PH dengan tindakan PPBM dan segelintir ahli Parlimen PKR keluar daripada gabungan kerajaan itu dan dakwaan beliau enggan bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan baru. Namun, untuk 48 jam yang lalu, tiada sepatah katapun yang keluar daripada mulut Mahathir setakat ini.

Mahathir juga secara teknikalnya menjadi ahli Parlimen bebas setelah beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi PPBM sejam selepas Jabatan Perdana Menteri mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai PM.

Dalam drama politik 48 jam ini, persepsi rakyat terhadap Mahathir turut berubah secara drastik. Suara-suara yang sentiasa mendesak beliau untuk meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim tetiba menjadi sunyi.

Sebaliknya, semua presiden parti komponen PH yang lain, Amanah, DAP dan PKR termasuk Anwar sendiri membuat kenyataan merayu Mahathir kembali menjadi PM. Mereka semua percaya Mahathir tidak terlibat dengan komplot untuk menggulingkan kerajaan PH.

Kebetulan sehari sebelum peletakan jawatan Mahathir, parti Warisan, PPBM dan sebilangan PKR yang keluar parti bersama parti pembangkang seperti Umno, PAS, PBB juga mengisytiharkan mereka menyokong Mahathir sebagai PM.

Ini bermakna dalam 48 jam lepas, nasib Mahathir berubah daripada status seorang PM yang perlu diganti dengan Anwar pada 2020, kepada seorang ahli Parlimen bebas yang pertama mendapat sokongan hampir semua parti politik untuk menjadi PM Malaysia.

Cuma, nasib Mahathir sangat berbeza dengan nasib PH. Dalam 48 jam yang lepas, mereka kelihatan kehilangan majoriti di Parlimen, dan kehilangan semua jawatan lantikan Kabinet. Antara benda yang turut terkorban di dalam 48 jam yang lepas ialah perjanjian peralihan kuasa di antara Mahathir dan Anwar.

Tidak diketahui, apakah PH akan mendapat semula sokongan majoriti dengan segelintir ahli Parlimen pembangkang dalam masa terdekat ini? Apakah PH akan tewas kepada gabungan ahli pembangkang yang mendapat majoriti dengan segelintir ahli Parlimen PH daripada PPBM dan PKR? Apakah ada beza istilah kepada kedua-dua cara pembentukan kerajaan yang baru ini?

Sebagai PM interim yang dilantik Agong, Mahathir kini nampak bebas kerana tidak lagi terikat dengan PH mahupun Majlis Presiden PH ekoran tindakan PPBM keluar dari PH. Untuk tempoh yang singkat ini, beliau adalah kerajaan dan kerajaan adalah beliau.

48 jam yang lepas juga menimbulkan pelbagai persoalan dalam minda rakyat.

Betulkah Mahathir tidak terlibat dengan rancangan menubuhkan kerajaan baru seperti yang dikatakan Anwar dan Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng?

Jika begitu, di manakah Azmin dan Muhyiddin Yassin mendapat keberanian untuk keluar PKR dan membawa PPBM keluar daripada PH? Mengapa anak Mahathir, Mukhriz masih hadir ke mesyuarat PPBM malam semalam? Apakah mereka tidak takut rancangan mereka akan digagalkan oleh Mahathir sendiri menyebabkan mereka hilang segalanya?

Apapun, kini ruang menjadi PM terbuka kepada semua. Takhta PM secara rasminya sudah ditanggalkan Mahathir dan kini diamanahkan kepada Mahathir oleh Agong sambil menunggu tuannya yang baru.

Syarat untuk menjadi tuan hanya satu – tunjuklah kepada Agong bahawa ia mempunyai sokongan melebihi 112 ahli Parlimen. Peluang sudah dibuka, jangan salahkan sesiapa jika sendiri gagal untuk “claim the throne”.

Jika tiada sesiapa yang dapat menuntutnya, takhta PM ini mungkin kekal di tangan ahli Parlimen bebas baru berusia 94 tahun ini.



Comments
Loading...