Peranan Agong langkau politik kepartian: Aminuddin


(Ismaweb) – Tindakan bijaksana Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah memanggil semua 222 Ahli Parlimen untuk ditemuduga secara peribadi sebagai proses membentuk kerajaan baharu, membuktikan institusi beraja pengimbang dalam ekosistem politik negara.

Dalam keadaan genting ketika ini, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, peranan Yang Di-Pertuan Agong melangkaui politik kepartian.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan perjuangan golongan anti-monarki yang dipelopori pihak berfikrahkan liberal dan komunis selama ini, bagi menghapuskan institusi beraja di Malaysia adalah dangkal serta singkat akal.

“Bayangkan jika kemelut politik negara ini berlaku tatkala tiadanya institusi beraja, pasti akan berlaku huru-hara sebagaimana yang telah berlaku di banyak negara lain kerana tiada kuasa pengimbang politik sebegini.

“Saya berharap agar rakyat terus meletakkan kesetiaan serta kepercayaan kepada institusi beraja terutamanya pada Yang di-Pertuan Agong dalam proses pembentukan kerajaan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aminuddin turut mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen yang bakal menghadap Yang Di-Pertuan Agong hari ini atau esok, supaya membuat keputusan terbaik bagi segera menghentikan kemelut berkenaan daripada berpanjangan.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengumumkan temuduga secara ‘personal’ semua Ahli Parlimen bersama Yang di-Pertuan Agong akan berlangsung di Istana Negara, bermula petang ini.

Temu ramah itu akan dilakukan hari ini dan esok secara berperingkat, seorang demi seorang bagi mengenal pasti Ahli Parlimen yang menjadi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Difahamkan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak terbabit dengan temuduga berkenaan berikutan Perdana Menteri Interim itu sudah mengadap baginda semalam.

 



Comments
Loading...