PH tumbang di Johor


(Ismaweb) – Gabungan baharu akan menggantikan Pakatan Harapan (PH) di Johor, selepas memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Setiausaha Sulit Sultan Johor, Datuk Jaba Mohd Noah berkata, keputusan itu diambil selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berpuas hati bahawa gabungan baharu memperoleh majoriti mudah, dengan sokongan daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berbanding 26 ADUN memilih PH.

Oleh itu, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum susunan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baharu dilantik.

“DYMM tuanku berharap agar pentadbiran kerajaan negeri Johor segera dibentuk bagi memastikan pembangunan negeri berjalan dengan lancar demi kemajuan dan kesejahteraan hidup semua rakyat di negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Kedudukan PH sebagai kerajaan negeri terjejas susulan pengumuman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu, berhubung pengunduran parti itu dari pakatan berkenaan.

Jaba berkata, susulan itu, Menteri Besar, Datuk Dr Saharuddin Jamal bersama Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad telah mengadap Sultan Ibrahim bagi memaklumkan gabungan baharu yang diwujudkan bersama beberapa ADUN serta berjaya memperoleh bilangan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Bagi mengesahkan sokongan itu, beliau berkata, Sultan Ibrahim telah bertitah supaya diadakan satu temu bual bersama setiap ADUN bagi mendengar sendiri sokongan yang diberikan.

Katanya, satu sesi temu bual telah diadakan semalam, di hadapan Sultan Ibrahim dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Johor serta Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.

“Setiap ADUN juga dikehendaki menandatangani surat akuan bersumpah bagi mengesahkan pendirian mereka sama ada menyokong parti Pakatan Harapan atau gabungan baharu.

“Daripada 56 ADUN yang dipanggil, dua orang tidak dapat menghadirkan diri iaitu ADUN Simpang Jeram dan ADUN Puteri Wangsa. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang merupakan ADUN Gambir turut hadir dalam sesi temu bual tersebut,” katanya.



Comments
Loading...