Dakwaan Kadir Jasin tidak benar, parti mencalun Muhyiddin sebagai PM8
(Malaysia Gazette) – Dakwaan Datuk A. Kadir Jasin kononnya pencalonan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kelapan tidak mendapat sokongan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu adalah tidak benar.
Ahli MPT, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof sambil membidas Kadir berkata, Muhyiddin yang jmenerima sokongan kukuh dari MPT sebab itu nama beliau dicalonkan sebagai perdana menteri mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. .
“Kalau Kadir Jasin kata tidak solid, kita baru habis mesyuarat pagi ini dan kenyataan rasmi pun telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu.
“Kalau sokongan tidak dapat kukuh, saya tak tahu lagi macam mana nak jadi kukuh,” katanya kepada pemberita di perkarangan kediaman Presiden Bersatu itu di Bukit Damansara di sini.
Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah turut menolak andaian bahawa Bersatu telah mengorbankan prinsip pengerusi parti itu untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan menyifatkannya sebagai satu persepsi.
Malah katanya, tidak semua pemimpin dalam sesebuah parti politik itu adalah jahat.
“Ini persepsi, jadi tidak akan korbankan prinsip itu (prinsip Dr Mahathir untuk tidak kerjasama dengan UMNO).
“Prinsip sama yang kami bawa dulu dalam satu pakatan dahulu,” katanya.
Sebelum ini MalaysiaGazette diberitahu bahawa keputusan bekerjasama dengan Muafakat Nasional yang diputuskan oleh Bersatu sehingga membolehkan Muhyiddin dicalonkan sebagai perdana menteri telah mengenepikan prinsip Dr Mahathir yang enggan bekerjasama dengan UMNO.
Malah Dr Mahathir yang kembali menjadi pengerusi Bersatu selepas meletakkan jawatan Isnin lalu dikatakan tidak menunggu mesyuarat tersebut sehingga selesai.
Ditanya tentang perkara itu, Redzuan menjelaskan: “Dr Mahathir bukan keluar begitu sahaja, dia mohon supaya perkara itu tidak dibincang berulang kali, sebab dia sudah nyatakan prinsipnya.”