Khalid Samad desak Dr Mahathir sokong Anwar sebagai PM8


(Malaysiakini) – Dalam satu siri ciapan di Twitter, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad meminta Dr Mahathir Mohamad ke Pakatan Harapan.

Beliau juga meminta pemimpin berusia 94 tahun itu untuk bersama-sama dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Khalid mengingatkan Mahathir bagaimana pasangan itu menyokongnya walaupun apa yang berlaku ketika perseteruannya dengan Anwar lebih dua dekad lalu.

“Tolong Tun, terus bersama Anwar dan Kak Wan (Wan Azizah) kerana mereka telah bersama-sama anda. Kesengsaraan dan penderitaan yang disebabkan anda tidak menghalang mereka daripada menyokong anda.

“Anda tak ada banyak sebab untuk tolak mereka. Memandangkan sokongan mereka telah membuatkan anda jadi PM pada 2018, sokongan anda – seperti dijanjikan – akan menjadikan Anwar PM sekarang,” katanya.

Anggota Parlimen Shah Alam itu juga meminta agar Mahathir tidak menjadikan pengkhianatan sebagai sumbangan terakhirnya untuk negara.

Sementara itu, Khalid juga menggesa Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal untuk membuat pendirian kerana Mahathir tidak lagi menjadi calon perdana menteri Bersatu, sebaliknya Muhyiddin yang tiada masalah untuk bersama-sama Umno.

“Jadi Shafie, anda perlu membuat pendirian. Mudah-mudahan anda tidak akan berdepan dengan mereka yang menyokong penjahat (crooks),” katanya.

Warisan-Upko mempunyai 10 kerusi Parlimen. Shafie sebelum ini menyuarakan sokongan kepada Mahathir.

Anwar merupakan calon perdana menteri paling di hadapan, dengan 92 kerusi Parlimen. PH juga mendakwa beliau mendapat sokongan anggota Parlimen di luar gabungan itu.

 



Comments
Loading...