Pemimpin Pakatan tak berprinsip, langgar janji punca kerajaan PH tumbang, kata Anwar


(FMT) – Anwar Ibrahim menyalahkan pemimpin tidak berprinsip dan gagal mengotakan janji sebagai punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

“Semalam kamu setuju, kemudian hari ini kamu tukar, sebab apa? Ugutan wang.

“Kita mulai lentur, hadapi kesukaran bila kita terpukau dengan kilauan kuasa dan harta, ini cabaran besar kita.

“Kita kena latih angkat tokoh yang berakhlak, berprinsip tetap tidak mudah tergugat,” katanya berucap pada program keagamaan mingguan di rumahnya malam ini.

Terdahulu, Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Anwar sebagai punca beliau tidak dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Katanya, beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin lalu supaya Anwar dapat membuktikan beliau mempunyai sokongan untuk menerajui negara.

“Anwar memang dia gila-gila nak jadi PM, dia tak boleh jadi (PM) pasal entah macam mana kalau dulu ramai sokong dia, sekarang ini ramai sokong saya,” kata Mahathir dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin akar umbi PPBM di Yayasan Kepimpinan Perdana petang tadi.

Mahathir sebelum ini berjanji melepaskan jawatan perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang akan diadakan di Kuala Lumpur November nanti.

Berdasarkan penjanjian yang dipersetujui pimpinan PH menjelang pilihan raya umum ke-14, Anwar akan mengggantikan Mahathir sebagai perdana menteri, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

Anwar turut menyifatkan kejatuhan kerajaan PH yang membawa kepada pelantikan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 ialah satu bentuk rampasan kuasa.

“Orang yang berfikir bukan hanya di sini, seluruh dunia tahu ini satu rampasan (kuasa) sama ada ikut prosedur, sama ada ikut undi, ia satu rampasan (kuasa).”

Beliau menasihatkan penyokong PKR supaya tenang menghadapi ujian ketika ini.

“Ramai orang kata Anwar pura-pura senyum, saya tidur lena, makan lalu.”

Pagi tadi, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 selepas mendapat sokongan daripada Barisan Nasional, PAS, Gabungan Parti Sarawak, beberapa ahli Parlimen dari PPBM dan PKR.

 



Comments
Loading...