BERAKHIRNYA IMPIAN JADI PM8: ANWAR PERLU SALAHKAN DIRI SENDIRI, BUKAN UMNO, BUKAN PAS!


Kamarul Yusoff

Selain daripada DAP yang menjadi punca kepada tindakan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pada 23 Februari 2020 membuat keputusan untuk membawa BERSATU keluar daripada Pakatan Harapan, satu lagi pihak yang menjadi punca utama kepada berkuburnya Kerajaan Pakatan Harapan dan berakhirnya impian Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi PM8 ialah Datuk Seri Anwar sendiri.

Kegagalan Datuk Seri Anwar menguruskan dengan baik Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-14 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, pada 7-8 Disember 2019 menyaksikan Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres KEADILAN 2019 yang dikenali juga dengan nama Malis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dilangsungkan di Hotel Renaissance KL pada 8 Disember 2019.

Dalam majlis makan malam tersebut, ucapan berapi-api telah disampaikan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presiden KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, yang masing-masingnya merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di hadapan para penyokong mereka.

Begitupun, selepas bertukar-tukar kecaman terbuka buat beberapa ketika, suasana politik dalam KEADILAN menjadi lebih tenang selepas itu sehingga menyaksikan buat julung-julung kalinya Dato’ Seri Mohamed Azmin dan Zuraida menghadiri mesyuarat Biro Politik KEADILAN pada 8 Januari 2020.

Ketenangan ini bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Zuraida diberikan surat tunjuk sebab untuk dijawab dalam tempoh 14 hari oleh Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Ahmad Kassim, pada 17 Januari 2020 ekoran ucapan beliau di Hotel Renaissance KL pada 8 Disember 2019 tersebut.

Menjadikan keadaan lebih parah ialah pengumuman Datuk Johari Abdul pada 18 Januari 2020 bahawa 9 Pengerusi KEADILAN Negeri, iaitu Amran Kamarudin (Perlis), Datuk Johari Abdul (Kedah), Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan), Azan Ismail (Terengganu), Fuziah Salleh (Pahang), Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (Perak), Halim Bachik (Melaka), Syed Ibrahim Syed Noh (Johor) dan Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), mendesak Zuraida dipecat daripada parti.

Pengumuman Datuk Johari ini segera disambut oleh kenyataan 46 pemimpin KEADILAN, yang termasuk di dalamnya 15 Ahli Parlimen dan 26 Ahli Dewan Undangan Negeri, pada 22 Januari 2020 yang “menuntut supaya tindakan disiplin yang telah dimulakan terhadap Zuraida dihentikan serta merta dan diselesaikan secara baik demi mewujudkan semula keharmonian dalam parti” dan yang memberi kata dua bahawa “sekiranya tindakan ini tidak dihentikan kami akan membincangkan tindakan selanjutnya berdasarkan prinsip-prinsip perjuangan PKR”.

Kegagalan Datuk Seri Anwar menghentikan tindakan disiplin terhadap Zuraida inilah yang memberi ruang dan alasan kepada 11 Ahli Parlimen KEADILAN untuk “mengisytiharkan keluar daripada KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen”, di saat desas-desus sedang berlegar kuat bahawa Zuraida akan benar-benar dipecat, pada 24 Februari 2020.

Oleh itu, tiada pihak lain yang wajar disalahkan oleh Datuk Seri Anwar dan para penyokong beliau, termasuklah UMNO dan PAS, di atas berkuburnya Kerajaan Pakatan Harapan dan berakhirnya impian beliau untuk menjadi PM8 melainkan diri beliau sendiri.

Jika Datuk Seri Anwar menghentikan tindakan disiplin terhadap Zuraida, atau paling tidak memberikan jaminan bahawa Zuraida tidak akan dipecat daripada parti, 11 Ahli Parlimen KEADILAN ini tidak akan mempunyai ruang dan alasan untuk keluar daripada KEADILAN.

Rasional 11 Ahli Parlimen KEADILAN ini adalah mudah: Sebelum mereka dipecat daripada parti, adalah jauh lebih baik untuk mereka terlebih dahulu mengisytiharkan keluar daripada KEADILAN.

Jika 11 Ahli Parlimen KEADILAN ini tidak keluar daripada KEADILAN dan muafakat Pakatan Harapan, adalah tidak mungkin UMNO dan PAS mempunyai ruang untuk menyertai kerajaan baru.

Dan tiada orang lain yang boleh disalahkan dalam perkara ini kerana Datuk Seri Anwarlah yang memberi ruang dan alasan kepada 11 Ahli Parlimen KEADILAN untuk keluar daripada KEADILAN.

 



Comments
Loading...