Tangguh sidang Parlimen bukan kerana kerajaan takut – Annuar Musa


(Astro Awani) – Penangguhan sidang Dewan Rakyat ke 18 Mei ini bukanlah kerana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin takut berhadapan dengan undi tidak percaya, tegas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa.

Sebaliknya, jelas Ahli Parlimen Ketereh itu lagi, prosedur itu dijalankan mengikut tertib bagi memberi laluan kepada pelantikan jemaah Kabinet dahulu bagi aturan mesyuarat berjalan dengan lancar.

Selain itu, katanya lagi, tidak menjadi kesalahan buat Perdana Menteri memohon menangguhkan sidang Dewan Rakyat selagi mana ia belum melepasi tempoh enam bulan dari tarikh akhir persidangan, iaitu 5 Jun ini.

“Ada orang kata, ini takut nak bersidang sebab itu tangguhkan. Ada kawan saya bekas menteri, melalut sahaja. Kita kena faham, bukan sengaja nak tangguh. Tetapi kita kena tertib full compliance dengan standing order (peraturan mesyuarat). Dan kena ada sidang parlimen mengikut jalur yang ditetapkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan penangguhan sidang kepada 18 Mei ini, selepas menerima pemakluman daripada Pejabat Perdana Menteri.

Ekoran pengumuman itu, segelintir pihak mendakwa ia kerana Perdana Menteri tidak mempunyai sokongan yang penuh untuk berhadapan dengan undi tidak percaya dalam sidang itu.

Menjelas lanjut, Annuar berkata, Muhyiddin perlu diberi masa untuk melantik jemaah menteri bagi melancarkan urusan peraturan mesyuarat, terutama sekali dalam sesi soal jawab lisan antara kerajaan dan pembangkang.

Selain itu, katanya lagi, beliau menjangkakan pertukaran Speaker juga akan turut menjadi aturan mesyuarat kerana pertukaran itu adalah kelaziman selari dengan pertukaran kerajaan.

“Mustahil nak bersidang pada April ini. Sudah tentu kerajaan baru mahu kemukakan notis untuk melantik Speaker baru. Pelantikan Speaker Dewan itu ada kuasa tertentu, dan kena tentukan notis berapa lama, kena berunding antara parti nak calon siapa dan sebagainya, jadi memerlukan masa sedikit.

“Dulu saya pembangkang, saya hantar soalan, sekarang saya duduk di sebelah sebelah kerajaan. Mana ada soalan dari pembangkang. Jadi bila bertukar kerajaan, perlu adil dan beri peluang kepada yang jadi Ahli Parlimen (kerajaan) yang tidak menjadi front bench (Kabinet) serta pembangkang untuk menghantar soalan dan sebagainya,” jelasnya lagi.

 



Comments
Loading...