Bersatu Terengganu, Armada Kelantan cadang Hadi sebagai TPM
(Sinar Harian) – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu menganggap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang calon paling layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Ketuanya, Senator Datuk Razali Idris berkata, cadangan itu bersesuaian dengan latar belakang Abdul Hadi kerana pemimpin itu tidak pernah terpalit dengan isu salah guna kuasa atau skandal rasuah sepanjang terlibat dalam politik.
Selain itu katanya, gandingan pemimpin Pas itu bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat mampu meredakan kemelut politik yang dilihat masih belum berakhir sepenuhnya.
“Jadi, dari sudut demokrasi, ternyata Abdul Hadi yang juga merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu lebih layak berdasarkan pengalaman dan rekod bersihnya dalam politik.
“Cadangan (Abdul Hadi) ini juga untuk meredakan krisis pemilihan jawatan itu, namun lebih utama semua pihak perlu menghormati prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan siapa timbalan beliau,” katanya ditemui hari ini.
Terdahulu, suara tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Bersatu negeri mula kedengaran dalam memastikan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak diserahkan kepada pemimpin terlibat skandal rasuah.
Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Kelantan, Asran Alias berkata, semua pihak harus menghormati Presiden Bersatu yang kini menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Menurutnya, UMNO tidak perlu menekan Perdana Menteri untuk memilih Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.
“Tan Sri Muhyiddin telah jelaskan, beliau akan mengambil ahli Kabinet yang bersih dan berintegriti sahaja.
“Maka Datuk Seri Zahid yang masih terpalit dengan skandal rasuah tidak patut diangkat menjadi pimpinan utama,” katanya semalam.
Ini susulan tindakan UMNO Kedah menetapkan pendirian mereka supaya Ahmad Zahid menganggotai semula barisan Kabinet baharu Perikatan Nasional dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Dalam masa sama, Armada Kelantan turut mencadangkan Abdul Hadi selaku calon Timbalan Perdana Menteri bagi menggalakkan pembangunan di negeri itu.