Latheefa dakwa bungkusan rakaman audio, nota ditemui di luar rumah pegawai SPRM


(Malaysia Gazette) – Saksi ke-13 pembelaan SRC International Sdn Bhd, Latheefa Koya memberitahu mahkamah bahawa rakaman audio yang didedahkan olehnya pada 8 Januari lepas telah diletakkan di luar rumah salah seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Latheefa yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan perkara itu sambil menjelaskan bahawa beliau hanya tahu perkara tersebut melalui Timbalannya, Datuk Seri Azam Baki.

Kata Latheefa, pegawai khas Azam, Ahmad Nizam telah menerima bungkusan yang tidak dapat dipastikan individu atau kumpulan yang telah menghantar satu bungkusan mengandungi 9 ‘thumb drive’ serta satu nota tentang bungkusan tersebut.

Azam kemudian memberitahu Latheefa pada 3 Januari sebelum beliau mengarahkan satu kumpulan untuk menyiasat kandungan bungkusan itu termasuk maklumat dalam thumb drive tersebut.

Jelas Latheefa, beliau kemudian membuat sidang media selepas mendapati kandungan itu mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama individu lain yang dipercayai berbicara tentang penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Walaupun diasak oleh peguam peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Latheefa berpendapat tindakan beliau mendedahkan kandungan rakaman itu kepada umum tidak salah walaupun tidak pastik tentang ketulenan rakaman yang masih dalam siasatan.

Shafee: Tidakkah kamu rasa kamu telah lakukan satu ‘blunder’ (tindakan salah, terburu-buru) dengan dedahkan semuanya kepada umum sebelum selesai siasatan?

Latheefa: Apanya? ‘Blunder’ apa? Tidak. Saya tidak lakukan apa-apa yang salah.

Shafee: Apa yang kamu buat itulah ‘blunder’. Tidak apalah jika kamu tidak faham.

Latheefa: Tujuan saya berkongsi dengan umum dan media berhubung rakaman itu kerana kandungannya adalah sesuatu yang serius dan melibatkan kepentingan awam.

Itu adalah perbualan anggota kerajaan seperti SPRM, Pejabat Peguam Negara, Pejabat Perdana Menteri yang mungkin bersekongkol menutup siasatan tertertu melibatkan seseorang yang memegang jawatan tertinggi negara.

Shafee: Tapi cerita kamu tentang bagaimana kamu jumpa bungkusan dengan thumb drive itu seperti kisah mendiang Karpal, Lim Kit Siang dalam satu kes dahulu yang mana ada bungkusan di luar pejabat berkaitan kes disiasat itu.

Latheefa: (Diam sahaja).

Dalam pada itu, pasukan pembelaan Najib bertegas mahukan kesahihan rakaman audio 1MDB yang dikatakan melibatkan perbualan bekas perdana menteri dengan beberapa tokoh lain dibuktikan terlebih dahulu.

Ini juga kerana Latheefa sendiri telah menyerahkan perkara itu untuk di iasat polis dan SPRM juga masih sedang menyiasatnya.

Shafee bertegas pihaknya membuat permohonan itu kerana mahu mengetahui sekiranya rakaman audio itu mempunyai sebarang ‘campurtangan’ pihak berkepentingan atau sebaliknya.

Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan Latheefa terus disoal balas sebelum pihaknya membuat keputusan pada Isnin hadapan.

Najib ketika ini sedang membela dirinya daripada tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC membabitkan tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan.

 



Comments
Loading...